Sabtu, 28 Disember 2013

SEJARAH PEMBINAAN MASJID KARIAH KAMPUNG SERI LEMAK

SEJARAH PEMBINAAN
MASJID KARIAH  KAMPUNG SERI LEMAK

Mereka yang pernah sampai ke Kampung Selemak, Rembau  tidak akan mudah lupa dengan sebuah masjid yang menjadi kemegahan penduduk kampung ini. Begitu juga para makmum yang pernah menunaikan solat atau apa jua kegiatan agama di situ,

Bersebelahan dengan masjid yang tersergam gagah kini, terdapat sebuah bangunan lama yang akan dicoretkan di sini. Bangunan lama ini ialah bekas bangunan masjid lama yang paling awal  dibina di kampung ini yang sedikit benar diketahui oleh penduduk setempat, khususnya generasi muda.

PENEROKA

Menurut ceritanya, kampung ini dibuka oleh Dato Putih bersama-sama para pengikutnya. Adalah dipercayai Dato Putih  ini berketurunan daripada keramat Pagar Ruyong yang mashur pada masa dahulu bernama, Haji Salleh. Beliau terpaksa meninggalkan  negeri Minangkabau kerana kononnya telah banyak keramat di sana.  Kubur Dato Putih ini masih ada lagi pada masa ini  di Kampung Selemak Tengah yang sentiasa dipelihara dan dihormati oleh penduduk di situ.

Apabila penduduk kampung ini bertambah ramai maka mereka meluaskan lagi kampung itu. Pada masa yang sama mereka  bermuafakat  mendirikan sebuah rumah tempat mengerjakan amal ibadat. Orang  yang sangat mengambil berat  tentang rancangan ini  seorang hamba yang bernama Haji Hassan. Beliau ini berasal  dari Kampung Nerasau, dalam daerah Rembau dan datang menyemenda ( berkahwin ) di kampung ini. Setelah bermuafakat, penduduk di sini  bersetuju mengeluarkan belanja  bagi menjayakan rancangan ini. Antara mereka ada yang memberi harta benda seperti emas, perak, beras, padi dan wang ringgit mengikut kemampuan masing-masing.

Begitulah pengorbanan yang mereka berikan  untuk menjayakan rancangan yang mulia ini. Dalam pada itu, mengikut ceritanya  Haji Hassan yang bijaksana dan berada telah  banyak memberi pengorbanan.  Di samping itu, orang ramai khususnya penduduk yang berjiran dengan kampung ini turut menghulurkan sumbangan.

TUKANG

Setelah terhimpun beberapa banyak emas-perak, wang-ringgit dan beras-padi bagi mengongkosi  rancangan pembinaan masjid ini, maka usaha mencari tukang yang sesuai dilakukan. Setelah puas dicanangkan ke sana ke mari maka dikenalpasti  seorang yang ahli dalam bangunan bangsa Jawa, bernama Haji Mahmud  yang tinggal di Melaka. Beliau ditugaskan untuk mengerjakan usaha pembinaan masjid ini mendorong beliau berpindah ke sini. Kerja pembinaan masjid kayu ini bermula dalam tahun 1821 dan siap pada tahun 1824.

Kemudian, Haji Mahmud berpindah ke kampung ini bersama-sama ahli keluargan dan  para penolongnya. Keluarga Haji Mahmud dikedimkan ( masuk Suku Seri Lemak ) dengan penduduk di sini.  Pada hari ini keturunan Haji Mahmud masih ada lagi bermastautin di sini. Apabila Haji Mahmud meninggal dunia beliau telah dikebumikan di kawasan masjid  dan begitu juga isterinya. Kubur itu masih ada lagi di sebelah kanan masjid itu.

MASJID EMPAT SELA

Setelah selesai pembinaannya, masjid itu sangatlah elok bangunannya.  Semua alat perkakasnya  diperbuat daripada kayu belaka. Atapnya genting yang disediakan oleh tukang Melayu juga. Di dalam masjid itu terdapat ukiran-ukiran tangan yang menarik lagi  indah  dan halus perbuatannya.  Masjid ini dinamakan Masjid Empat Sela  kerana pada masa itu hanya ada empat buah masjid yang besar dalam daerah Rembau. Masjid-masjid itu terdiri daripada masjid-masjid di Kampung Chembong, Kampung Bongek, Kampung Legong dan Kampung Selemak sendiri. Masjid-masjid ini merupakan masjid-masjid yang paling awal di bina di daerah Rembau.

MASJID  UNDANG LUAK REMBAU

Majlis istiadat  pembukaan Masjid Selemak ini telah dibuat secara besar-besaran. Ramai para jemputan dan para pembesar daerah Rembau telah hadir pada hari tersebut. Sebagai sebuah daerah yang diperintah oleh Undang Luak Rembau sudah tentu juga  masjid ini dipunyai oleh Undang Luak Rembau. Di mana Undang Luak Rembau akan datang menunaikan fardhu Jumaat  bergilir-gilir  di kalangan empat buah masjid yang telah dinyatakan di atas tadi.

Biasanya, kedatangan Undang Luak Rembau diiringi oleh Orang Besar Dua Belas dari Balai Undang Luak Rembau. Apabila, beliau sampai di sempadan kampung ini beliau disambut oleh Dato Sinda Maharaja, Lembaga Suku Seri Lemak bersama-sama penduduk di sini. Dari situ, berjalanlah menuju ke masjid dengan iringan pukulan tetawak dan cadang.

Di dalam masjid, Undang Luak Rembau  ditempatkan khas di tempat yang beralaskan dengan hamparan permaidani. Setelah selesai sembahyang fardhu Jumaat, Undang Luak Rembau  akan pulang dengan dihantar oleh penduduk di sini  hingga ke sempadan kampung. Lantas diiringi oleh Orang Besar Dua Belas ke Balai Undang.

 MEMILIH  PEGAWAI

Pada awalnya masjid ini ditadbir oleh sebilangan pegawai yang dilantik oleh penduduk di sini; setelah mendapat persetujuan daripada keempat-empat Perut dan Suku Seri Lemak ini. Jawatan Imam akan dilantik secara bergilir-gilir daripada empat Perut ini. Jawatan Bilal akan dilantik daripada Perut Biduanda ( Donda ). Sementara jawatan Khatib dikhaskan kepada suku-suku Batu Hampar, Seri Melenggang, dan Tanah Datar  dilantik secara bergilir-gilir. ( Ketiga-tiga suku ini bergantung kepada Dato Sinda Maharaja pada masa dahulu ). Sementara jawatan  Mungkin pula adalah hak orang-orang Suku Tiga Batu.

Masjid ini dilengkapi dengan mimbar buatan tangan yang  indah dan  sebuah bedok atau tabuh  yang panjangnya hampir 33 kaki.

KERAMAT

Sebagai sebuah masjid yang tertua, dipercaya masjid ini mempunyai keramat. Keramatnya masyhur di merata tempat dan daerah ini. Menurut ceritanya, keramat ada tujuh. Empat dibawa oleh Dato Putih sendiri dan tiga lagi keramat yang sedia menanti di kampung ini. Keramat-keramat yang dibawa oleh Dato Putih ialah;
i.              Dato Semambu Tunggal,
ii.            Dato Sebatang Tujuh,
iii.           Dato Sami Alam Tunggal,
iv.           Dato Si Minta Alam Tunggal;

Sementara keramat-keramat yang sedia menunggu ialah;
i.              Dato Sheikh Muhammad Ali,
ii.            Dato Meredat Ali,
iii.           Dato Teropong Rantai Besi.

Dipercayai ketujuh-tujuh keramat ini bekerja menjaga dan memelihara keselamatan kampung ini daripada segara rupa musuh. Ramai penduduk daerah ini dan daerah lain juga mempercayai keramat-keramat ini. Oleh itu ramailah yang berkaul  ke masjid ini apabila meminta sesuatu dan setelah hajat tercapai, mereka mereka datang membayar niat di masjid ini. Tiap-tiap orang yang berniat  mestilah patuh kepada yang dijanjikan. Andainya, ada yang cuba mengingkarinya  atau tidak jujur dalam pembayaran niat itu, maka adalah petunjuk yang akan diterimanya. Pernah orang jauh yang hendak membayar niat, tiba-tiba kereta yang dinaikinya tergelincir daripada tambah jalan ke masjid ini. Puaslah cuba menarik kereta itu, tetapi tiada juga berjaya. Setelah dibakar kemanyan di masjid itu  baharulah kereta itu dapat ditarik naik.

BUKTI  KERAMAT

Sehingga hari ini ramai yang telah berjumpa dengan keramat-keramat itu dan ramai juga yang telah merasa penangannya, termasuk askhar-ashkar Jepun  yang pernah tiba di kampung ini dahulu. Mereka yang pernah terjumpa mengatakan keramat itu merupakan dirinya  dengan apa-apa sahaja rupa. Biasanya  menyerupakan manusia atau harimau  dan biasanya malam Jumaat dan sesiapa yang ke masjid pada waktu subuh.

Beberapa  kejadian yang menghairankn  telah membuktikan keramat-keramat itu. Satu kisah diceritakan, pada masa dahulu seorang hamba Allah telah tertidur  dalam masjid itu. Apa tersedar daripada tidur didapati dirinya sedang tidur di dalam sawah padi. Menurut kepercayaan orang tersebut dirinya  kotor.

Menurut satu cerita yang lain pula, seorang hamba Allah lain juga  tertidur dalam masjid itu. Apabila dia tersedar daripada tidurnya, didapati  dirinya telah beralih ke bahagian lain masjid itu. Orang itu adalah seorang yang kuat agama juga, jadi tempat tidurnya sahaja berubah.

KEJADIAN LAIN

Beberapa kejadian lain yang menghairankan  telah juga ditunjukkan oleh keramat itu.  Pada suatu hari, semasa Perang Jepun dahulu  ashkar-ashkar  Jepun  telah sampai ke masjid ini pada hari sehari sebelum hari berpuasa.  Kebiasaannya, pada hari itu ramailah orang berkumpul di masjid itu kerana majlis mantai atau menyembelih kerbau untuk orang kampung.

Apabila ashkar-ashkar Jepun sampai  di masjid itu, mereka terjumpa dua batang meriam  atau  lela  yang terletak pada kaki tangga  masjid. Mereka  hendakkan lela itu dan orang berada di situ tidak berani melarangnya. Orang itu hanya memandang  sahaja  perbuatan ashkar-ashkar Jepun itu . Pada mula seorang ashkar sahaja  boleh memikul sebatang lela dan membawa pergi. Tetapi secara  tiba-tiba ashkar tadi  merasa berat  sedikit dan perlu dibantu oleh seoran ashkar lagi.  Kemudian ashkar berdua itu pun terasa berat juga lalu meminta bantuan seorang lagi. Ketiga-tiga juga merasa berat memikul lela yang kecil itu.  Akhirnya, ramailah yang menolong memikulnya sehingga tiada lagi tempat untuk meletakkan bahu  untuk bersama-sama memikulnya. Kesudahannya, terpaksalah ashkar Jepun  tersebut  meninggalkan lela itu, di tengah-tengah sawah  arah ke Kampung Sungai Layang. Apabila ashkar Jepun telah beredar, pergilah orang yang  berada di situ mengambilnya semula dan meletakkan pada tempatnya.

Satu lagi kisah yang menceritakan keramat adalah seperti berikut. Kira-kira lima tahun lalu ( 1950-an ) sekumpulan orang kampung telah mencari belalang berhampiran Lubok Rusa. Kawasan ini  terletak di hulu sawah. Ketika mereka sedang mencari belalang itu ada seorang  daripada mereka berseru-seru hendak menengok keramat masjid Selemak, kiranya keramat itu dapat merupakan dirinya, maka orang tadi akan  bersedekah pisang berharga dua sen  di masjid itu. Sejurus kemudian merupalah seekor harimau yang amat besar berhampiran tempat mereka mencari belalang tadi. Jadi, orang-orang pun bertempiaran lari membawa diri masing-masing.  Apabila sampai di rumah mereka berkumpul dan memarahi orang yang berseru tadi. Sedang mereka memarahi orang tadi, muncul semula harimau itu beberapa ela sahaja jauhnya  daripada tempat mereka berkumpul itu. Dengan itu baharulah orang-orang itu sedar akan kuasa keramat itu. Orang yang berseru itu masih lagi hidup pada hari ini. Namun namanya dirahsiakan  untuk nama baiknya.

MASJID KEDUA

Masjid Selemak yang masyhur  yang menjadi kemegahan penduduk ketika itu  telah diganti dengan sebuah masjid  baru yang didirikan pada tahun 1927 sebelum Perang Dunia Kedua  dahulu. Masjid lama tersebut yang tinggal hanya tiang tengahnya sebanyak empat batang masih terdiri dengan gagahnya di tapak lamanya dahulu. Walaupun telah terdiri di situ  beratus-ratus tahun  ditempa hujan dan panas, namun masih teguh lagi. Kayu-kayunya dahulu telah digunakan untuk mendirikan  sebuah bangunan baru di situ. Bangunan lama inilah tempat orang membayar niatnya.  Masjid banguan batu ini  bersesuaian dengan pembinaan masjid ketika itu.

Pada peringkat permulaan masjid baru ini  dibangunkan dengan daya usaha penduduk setempat.  Namun hanya dapat disiapkan sepenuhnya  di atas bantuan Dato Shahbandar  Luak Sungai Ujung pada masa itu. Bangunan telah beberapa kali diubahsuai.


Mengenai keramat-keramat yang menjadikan masjid termasyhur telah dipindahkan ke masjid baru tersebut. Kerja-kerja pemindahan itu telah dilakukan oleh seorang Pawang yang bernama Pawang Ishak ( atau Pawang  Sahak ). Caranya ialah dengan membakar kemenyan  di atas masjid lama dahulu dan dari situ  dibawalah kemenyan  yang sedang terbakar itu  ke atas masjid yang baru itu. Pawang Sahak  telah meninggal dunia  tidak berapa lama setelah tamatnya Perang Dunia Kedua dahulu.

MASJID KETIGA

Kemudian dicadangkan untuk mengubahsuai  masjid batu yang sedia ada itu. Namun terpaksa dibina semula setelah hampir semua bangunan asal runtuh.( kerana tidak ada konkrit ). Oleh sebab itu bangunan baru terpaksa dibina pada tahun 1984.

 Namun begitu identiti reka bentuk asal tetap dikekalkan. Yang Berhormat Dato Mokhtar  Haji Hashim, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia, yang menjadi Ahli Parlimen Tampin pada masa itu telah banyak memberi pertolongan dan sumbangan peruntukan bagi menyudahkan bangunan baru ini; selain daripada derma orang ramai dan penduduk setempat.

MIMBAR

Selain daripada itu, sebuah mimbar  yang terdapat di masjid lama itu telah dipindahkan ke masjid baru itu. Masjid baru ini dibuat daripada batu-bata dan tukangnya seorang Cina pula.  Mimbar  tersebut diperbuat daripada kayu yang baik, penuh dengan ukiran tangan yang cantik dan menarik. Pembuatannya sangat halus menggambarkan betapa kayanya kesenian orang Melayu zaman dahulu. Member ini melambangkan kebijaksanaan orang Melayu zaman dahulu dan masih gagah hingga hari ini. Ramai pihak yang tertarik dengan member tersebut.

Pada hari ini masjid yang baru itu telah digunakan  sebagai  tempat beribadat . Sementara masjid lama yang masyhur itu tinggal bekasnya sahaja lagi. Namun kisahnya masih tersemat di hati orang ramai yang mengetahuinya.

Penulisan ini  sebagai usaha untuk menyampaikannya kepada generasi hari ini . Moga-moga kasihnya akan terus diketahui oleh generasi akan datang.

Pada hari ini, Masjid Kariah Selemak ini terdiri daripada seluruh Kampung Selemak, Kampung Pulau Bintongan ( Pulau Manggar ), dan sebahagian Kampung Sungai Layang. Dari segi struktur pentadbiran daerah Rembau  kampung ini mempunyai sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK ) Kampung Selemak, kecuali Kampung Pulau Bintongan di bawah JKKK Kampung Batu dan sebahagian Kampung Sungai Layang di bawah JKKK Kampung Sungai Layang.



Informer         : Tok Aki Wahab
Pencatat        :  Mohd. Yusof Dahan
Pengedit        :  Mohamad Haji Abd. Ghani pada 31 Disember 2006




Selasa, 24 Disember 2013

JEJAK DARI KG SELEMAK KE NAGARI SARILAMAK

Program Jejak Kg Selemak ke Nagari Sarilamak telah berlangsungb Pada 16-18 Disember 2013 seramai 30 orang penduduk kampung menyertai program itu.


Sebagai satu tanda kenangan, saya akan menghasilkan sebuah buku tentang Kampung Selemak berjadul, JEJAK SELEMAK KE SARILAMAK.....

Rabu, 20 November 2013

Mengapa penyu menangis

Menangis !
Mengapa penyu menangis?
Kan penyu  kata 'Penyu tidak menangis lagi'
Bila katak melompat-lompat ke pangkuan 
Penyu, janji tak menangis lagi.Top of Form

Ya, penyu cuba tidak  menangis lagi
Tapi penyu  tidak boleh janji `           
Itu  lumrahnya penyu  melepaskan  tekanan.
Selagi  tidak puas  beban yang terbuku  di  hati.
Tidak mengapa, jangan risau , jangan gundah
Airmata  penyu  tidak akan membasahi orang lain.

Janji penyu tidak akan menangis lagi
Kerana penyu bukan penyu lagi.
Tangisan adalah  kenangan 
saat  penyu  sakit semasa hamil,
Arwah mak tiada disisi   membantu
bila arwah diperlukan. Itu sahaja.

Tetap dikenang dan selalu mengenangkan
betapa payahnya seorang  ibu,
membawa perut selama  sembilan bulan,
susah nya bersabung nyawa melahirkan
dan bahagianya ibu
bila anak yang dikandung ada di depan mata.
Kalau penyu  baru dengan pengalaman pertama ,
bagaimana arwah mak melahirkan
kami  sepuluh  orang anak-anak  emasnya.
Betul kan !

5 Jun 2013
Bottom of Form


Selasa, 12 November 2013

MENGAPAKAU TINGGALKANKU

Bukankah kau berjanji
akan selalu ada disisiku
bukankah kau bertekad
untuk selalu melindungiku
keluargaku setelah ketiadaanku
bahkan apapun membahayakanku.

Bukankah kau pernah berkata
takkan berganjak dari sisiku
takkan  hilang dari mataku
takkan  sendirian meninggalkanku.
membuatku lafaz bukan janji palsu
bahkan seribu tahun akan kutunggu.

Sekarang kau pergi
meninggalkanku sendiri
menjadi tunggul sepi
menangisi kepergianmu
namun  jiwa dan jasad tetap menanti. 

Sekarang kau di sana
tak kaulihatkah aku di sini bersedih
tak lihatkah betapa menderitanya aku
memegang janjiku, menagih janjimu
merindu dan menangisi kepergianmu   
sujud kepada-Nya mohon kembalikanmu.

Sekarang kau disana
terus membisu membuat aku kaku
pada wajahmu terpahat  seri palsu
Meninggalkan tunggul sepi yang bisu
Hanya satu yang ingin kuhembuskan padamu
Mengapa sampai hatimu  meninggalkanku?

12 Nov 2013, 6.12 pm.

Sabtu, 9 November 2013

TANGGAPAN TERHADAP ORANG NOGORI 9

Rasis  ko prejudis atau persepsi ?

Tengku Mimi Khirlina yang berusia 40-an pernah berbicara dalam
facebook bersama saya. Ia bermula dengan kisahnya  menolak perkahwinannya dengan bekas tunangnya jejaka, Kuala Pilah,  Negeri Sembilan.
Tunangnya  dipilih oleh kedua orang tuanya. Tengku Mimi Khirlina menyatakan kepada arwah bapanya, Datuk Tengku Ibrahim,  mengapa dia enggan seboleh-bolehnya berkahwin jejaka Negeri Sembilan. Alasan yang diberikan, bagaimana liku-liku hidup berumahtangga  yang dialami oleh abangnya yang  pernah berkahwin dengan seorang perempuan Nogori 9. Sepanjangan perkahwinan itu abang tersiksa dengan kongkongan isterinya berasal dari Lukut, Port Dickson.  
Pengalaman itu lantas  pelbagai  soalan  berlegar dalam otak Tengku Mimi Khirlina  kerana anggapan  ia sebagai amalan masyarakat Adat Perpatih.
Soalan dalam pemikirannya ialah, mengapa? Wanita Nogori 9 bolot harta pusaka, queen controls atau buat suami patuh pada arahan isteri, kebendaan atau materialistic. Persoalan lain lelaki berkahwin wanita Nogori 9 masuk ‘suku’ dan bila bercerai keluar sehelai sepinggang. Isu ini menghantui pemikiran Tengku Mimi Khirlina kerana semuanya dilalui oleh abang kandungnya.
Ya, topik hari ini ialah berkahwin orang Negeri Sembilan. Adakah rasist atau  prejudis?
Saya memulakan dengan menimbulkan   satu soalan, “ Betul ke kahwin
orang Nogori 9 kena queen control?” tanya aku. Soalan ini disambut oleh Tengku Mimi Khirlina dan beberapa rakan lain.
“ Betul tu, bang ...saya sokong 100%,” jawapan balas dari  Tengku Mimi Khirlina pantas.  
“  Bila ditanya sedemikian teringat pesanan sahabat baik arwah daddy yang tinggal bersempadanan dengan Melaka.  Pasangan itu beristerikan orang Nogori 9, selalu berbalah isu hak dan harta. Orang lelaki Nogori 9  perlu berusaha sendiri, juga pembahagian harta harus diserahkan pada perempuan, menyebabkan dia berpesan jika meninggal dunia dikebumikan di Negeri Melaka,”  tambah Tengku Mimi Khirlina.
“ Maaflah Datuk setiap hujung minggu saya kena cuti sebab nak balik
Rumah  Mak Iti ( org N9), “ Kata driver arwah daddy, Uncle Osman. Orang Kedah.
 " Aiii ...Man tiap-tiap weekend?” Daddy tanya balik
“ Ya Tuk....kucing beranak pun nak balik. Last-last  saya tinggal spender je macam ni,:” kami adik beradik tergelak dengan  lawak Pak Man...
‘  Uncle Osman, arwah dah dia,” sambung Tengku Mimi Khirlina.
“  Saya orang Nogori  9 . Suka juga orang Kelantan,” kata Nazri Yusof pula.
“  Sebenarnya,  orang lelaki mana-mana negeri pun baik. Cuma mungkin lelaki pantai timur lebih lembut dan dapat menundukkan orang perempuan Nogori  9...agaknya,” kata Tengku  Mimi Khirlina lagi.
“   Mungkin juga perempuan Kelantan pandai  cari rezeki dan tak lokek berbahagi dengan pasangannya menyebabkan lelaki Nogori  9  yang jauh hati dengan perempuan senegeri dengannya merasakan lega dengan penerimaan perempuan Kelantan,” tambah Tengku Mimi  Khirlina selanjutnya.
“  Kalau gitu rasis  ke prejudis?  Hehehe....mai dari  negeri mana pun sama gak....yang pentng diri  sendiri, ” sampuk Cikgu Nurul pula.
“  Betul tu cikgu Nurul ...bukan rasis. Tapi prejudis,”  aku menyokong Cikgu Nurul.
“  Saya tak suka lah orang prejudis..sebab saya besa mengalami satu
pengalaman macam tu la gak lebih kurang...macam ne sorang pegawai bank marah-marah saya bila saya berurusan dengan dia di sebuah bank di KL ...sy dah tak ingat bank apa dan katne...waktu-waktu baru sampai  dari kampung ...mai nak daftar kat UPM ...loghat saya pun memang tak leh kontrol  la...dia arah saya pi kaunter laen,  walaupun kaunter dia kosong..tak dak sapa..nombor giliran yang dipanggil  tu memang kat kaunter dia,” cerita Cikgu Nurul.
“ Waktu tu zaman-zaman  reformasi  lagi...sekitar 1999-2000...mungkin ada segelintir yang prejudis  dengan orang-orang negeri-negeri  sebelah utara. Sedih dan rasa nak menangis ja kat mak saya..tapi sebab saya cerdik dan sabaaq sikit dari orang tu ...saya tak dak la nak marah dia balik ..pastu memang  saya tak suka kalau orang  prejudis terhadap satu kaum, bangsa , budaya..bahasa dan lain-lain,”  jelas Cikgu Nurul panjang lebar yang berasal daripada Kedah.
“  Bagi  saya biaq kita berbeza,  asal selagi menghormati...jangan menilai dari  satu sudut  ja.....mungkin tu cuma teori kebetulan ja kot..hihihiihihih,” kata Cikgu Nurul lagi dalam loghat utara lagi.
“ Tumpang tanya, apa tu prejudis. saya ni kurang perbendaharaan kata,”  tiba-tiba  Anuar Khir menyampuk pula
“ Prejudis  bermaksud berfikiran negatif iaitu suka memandang serong pada seseorang atau sekumpulan orang,” terang  Shah Jehan. 
“ So,  bukanlah rasis ,  ya Shah...,” tanya Tengku Mimi Khirlina.
“ Oh, bukan rasis  tapi prejudis atau  persepsi saja,” terang Shah Jehan.
“ Oh, syukran,”  suara Anuar Khir.

Semua persoalan dalam pemikiran Tengku Mimi Khirlina  itu hanya persepsi atau momokan sahaja. Masuk suku, queen control, sehelai sepinggang dan lain-lain, hanya konotasi  jenaka sahaja. Tetapi, momokan terhadap  gadis Nogori 9  yang begitu, hingga menakutkan gadis luar berkahwin dengan jejaka Nogori 9. Ini menyebab Tengku Mimi Khirlina memutuskan pertuangan dengan jejaka Kuala Pilah.
Jejaka Kuala  Pilah sangat kecewa dan menyatakan tidak akan berkahwin dengan  gadis lain, kecuali Tengku Mimi Khirlina. Sebaliknya,  tidak sampai tiga bulan jejaka itu berkahwin dengan gadis Kuala Lumpur juga. Tengku Mimi Khirlina tidak kecewa tetapi tidak percaya dengan jejaka Nogori 9. Adakah sikap Tengku Mimi Khirlina itu rasis atau persepsi?
Catatan
Manusia tetap manusia  tanpa mengira  asal usul mereka. Manusia sama sahaja di mana-mana.  Jangan membuat penghakiman dan bias terhadap orang Nogori 9. ‘ Queen Control’ bukan orang Nogori 9 sahaja, tetapi orang KL, orang Perak, orang Penang pun ada yang ‘Queen control’ Adalah tidak adil persepsi itu ditujukan kepada orang Nogori 9, dan sebagai orang Nogori  9, saya menentang persepsi  atau tanggpan tak berasas itu.





PERJANJIAN KEMERDEKAAN REMBAU

Pada hari ini 28 Januari dalam tahun 1832, satu perjanjian persahabatan ditandatangani di antara Penghulu Rembau iaitu Raja Ali dan lapan orang Suku bagi pihak Rembau dan Robert Ibbetson, Residen bagi Singapura, Pulau Pinang dan Melaka bagi pihak kerajaan Inggeris. Dengan perjanjian ini Kerajaan Inggeris membatalkan dan memansuhkan semua perjanjian dan persetujuan yang terdahulu yang dibuat di antara Rembau, Kerajaan Belanda dan Kerajaan Inggeris yang ada sekarang. Antara perjanjian itu ialah:-

1. Kerajaan Inggeris mengakui Raja Ali dan lapan orang Suku sebagai pemerintah Rembau dan jajahan takluknya.

2. Kerajaan Inggeris dan Rembau akan mengekalkan persahabatan yang berpanjangan dan menahan dari melakukan sebarang tindakan permusuhan. Kerajaan Rembau bebas menjalankan pemerintahan dalam lengkongan wilayahnya mengikut undang-undang dan adat negeri itu.

3. Jika berlaku sebarang angkara ke atas rakyat Rembau oleh rakyat Inggeris di kawasan pihak Inggeris, pihak Rembau tidak boleh melakukan sebarang tindakan tetapi hendaklah merujukkan angkara itu kepada kerajaan Inggeris untuk disiasat, dan jika sabit kesalahan di atas rakyat Inggeris, ia akan dihukum mengikut Undang-undang Inggeris, demikian juga sebaliknya jika berlaku angkara ke atas rakyat Inggeris oleh rakyat Rembau di kawasan pihak Rembau, pihak Inggeris tidak boleh mengambil sebarang tindakan tetapi hendaklah merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa Rembau untuk disiasat, dan jika sabit kesalahan ia dihukum mengikut kesalahannya. Sekiranya pihak Rembau mengumpul orang dan kelengkapan untuk tujuan berperang, hendaklah ia memberitahu Inggeris akan tujuannya itu, demikian juga bagi pihak Inggeris hendaklah ia berbuat yang sama.

4. Dengan termaktubnya perjanjian kemerdekaan Rembau, pada hari ini dalam tahun 1832, Rembau diiktiraf oleh Inggeris sebagai sebuah negeri yang merdeka. Ini dapat dimengertikan dari pemansuhan perjanjian-perjanjian yang terdahulu yang mengikut dan memaksa Rembau menurut segala kemahuan Inggeris.


SEJARAH AWAL REMBAU

Maksud Nagari dalm Minangkabau satu penempatan sebelum menjadi Nagari mesti melalui satu proses Metamorsis .   

Taratak mula dibuek
sudah taratak menjadi kampuang
sudah kampuang menjadi dusun
sudah dusun menjadi koto
sudah koto menjadi nagari  .....

Semasa Kesultanan Melaka,  penduduk Rembau merupakan Jakun dibawah pimpinan Batin  Tok Pak Tinggam. Nama lama Rembau adalah Perabu. Abad ke 16 Rembau di bawah pimpinan Batin Sekudai (tiada kaitan dengan Bedahara Sekudai) . Masa ni masih jajahan Melaka dan Tun Jenal menjadi wakil Melaka ngan gelaran Tun Rembau duduk dekat Lubok Cina.

Nama asal  Rembau bermula daripada sebatang pokok Merbau Tua yang besar menaungi hampir 10 buah kampung. Masa utk menebang pokok tersebut  mengambil masa  hampir 1 bulan. Tapak pokok boleh dihidang hampir 12 dulang. Ini bukan dongeng kerana semasa penduduk kawasan tersebut  membajak masih terdpt btg pokok yg  tidak hancur. Kapak yg digunakan utk menebang pokok masih ada  dan saya pernah tengok . Masa inilah keluarga Jakun yg ingin membuka kg disuruh meniti sepanjang pokok tersebut  sampai di hujung buatlah kg . Sampailah di Sg Ujung. tu psl Sg Ujung digelar Sg Ujung kerana berada  dihujung sg.

Org Minangkabau yg pertama dtg ke Negeri Sembilan yakini Rembau adalah Datuk Leteh. Datuk Leteh dan org Minangkabau tlh hidup harmoni bersama org Jakun sehinggakan Batin Sekudai menyerahkan anaknya Datuk Bungkal  sbg anak angkat Datuk Leteh.

Org Minangkabau yg kedua dtg ke Rembau adalah Datuk Lela Bangsa dr suku Batu Hampar menetap di Penajis. Beliau dikahwin ngan Datuk Bungkal dpt anak lelaki Seri Rama (Penghulu Rembau yg Pertama).

Kedatangan beliau diikuti olh Datuk Laut Dalam dr suku Paya Kumbuh menetap di Legung.

Dalam tahun  1540 Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam tlh pergi mengadap Sultan Alauddin Riayat Syah utk menyatakan hasrat org Minangkabau melantik penghulu. Permohonan ini tld di persetujui oleh Sultan dan Seri R ama tld menjadi Penghulu yg pertama  ngan gelaran Dat uk Lela Maharaja. (Suku Biduanda Jakun). Olh sbb beliau msh kecil diwakilkan oleh Datuk Lela Balang dgn gelara n Datuk Gempa Maharaja. Apabila  Datuk Laut Dalam tak setuju beliau pun mengadap sultan dan meminta ktrnnya  juga layak utk menjadi Penghulu ngan syarat kahwin Seri Rama ngan anak DatuK Laut Dalam dan anak lelaki yg pertama akan menjadi penghulu ngan gelaran Datuk Sedia Raja (Biduanda Jawa). Datuk Laut Dalam telah digelar Datuk Merbangsa.

MANTAN MONTOR-MANTEE


Rabu, 6 November 2013

‘Pengantin tak jadi’ Berbaju kurung ke Pasar Malam

SABTU 26 FEB 2011 : Hari ini hari yang sangat meletihkan, penat, hampa dan mengecewakan Tengku Mimi Khirlina.  Semua perjanjian dan perancangannya tidak menjadi. Tengku Mimi Khirlina termenung sendiri di pejabat Pusat Tuisyen Bestarinya di Taman Kosas, Ampang.

“ Tak mengapalah, aral dah melintang, takdir dah tersurat, pasti ada hikmahnya. Tugasan di pejabat sedikit sebanyak menghiburkan hati,” bisikan yang memujuk hati Tengku Mimi Khirlina.

Anak murid, Nazhan tiba-tiba terlintas di hadapannya menegur, "Cikgu nak pergi kenduri ke lepas kelas petang ni" Sebelum ini, dia tidak pernah bertanya dan bercakap, tiba-tina budak ni bersuara.

" Mengapa awak tanya cikgu, macam tu? " Tanya Mimi.

“ Cikgu nampak cantik dan lawa dengan baju kurung. Cikgu tak pernah pakai macam ni, baju dan kasut cikgu di atas rak, sama warnalah,” pujian Nazhan yang membanggakan.
Gadis Melayu, Tengku Mimi Khirlina berbaju kurung?

"Cikgu nak pergi hadiri majlis lepas kelas nanti,” jelas Mimi.
" Majlis orang kahwin ke Cikgu? Cikgu macam pengantin..." tiba-tiba Nazhan ketawa akan Umi.

" Ya lah , pengantin tak  jadi," lawak  Mimi. Kami gelak sama-sama.

Sejurus selepas kelas, tiba-tiba anak dan ayahnya call dari Genting. Anak Mimi baharu mendaftar di sebuah sekolah elit swasta di Genting. Ayahnya  menemani dan memantau anak kesayangannya dengan tinggal menyewa sebuah apartment di Genting.

Tengku Mimi Khirlina berkejar ke Ampang Point, order Pizza. Tujuannya, Mimi ingat hendak hiburkan orang tengah marah dengan makanan Pizza. Perjalanan terganggu kerana Jalan Ampang-Ulu Klang jam sangat teruk.  

Tiba-tiba Tengku Mimi Khirlina dapat sms, “ Abang nak call”
telah  menggembirakan hatinya.

“Alhamdulillah...ada orang sudi menemankan sepanjang
perjalanan yang membosankan,” kata hati Mimi lagi.

Apabila  berhadapan dengan mereka di Genting, tidak ada konklusi, masing-masing dengan pendapat sendiri, masing-masing  hendak  tunjuk keras kepala. Akhirnya, Mimi bawa balik barang-barang anak dengan meninggalkan mereka menyusur  kemudian. 

Sepanjang perjalanan balik ke Ampang, macam-macam perkara di fikirkan. Mimi call abang lagi...saja buat sibuk dan menyibuk hendak menyusahkan abang. Pandu kadang-kadang laju, kadang-kadang  perlahan. 

Tiba di Ampang Indah sebelum Bukit Indah, rasa nak makan sesuatu...teringat malam ini ada pasar malam ...nak merasa Young Tow Fu. Tapi pasar malam ini sudah lebih sepuluh tahun tidak  pernah jejak dan cuba membeli. Beranikan diri dan selamba lah, harap-harap tidak ada orang perasan atau kenal.

Semasa memilih bahan-bahannya,  Mimi sudah perasan seseorang lelaki asyik memerhati.  Mat ini bukan nak beli sangat, sekejap ke gerai kiri, kanan, depan, belakang, tidak beli apa-apa pun. Hanya mundar-mandir sahaja.

Pada masa yang sama, tergerak hati berkata, “ Entah-entah  nak meragut.”

Selepas membayar harga bahan-bahan, Mimi  cepat-cepat  melangkah laju meninggalkan gerai itu. Mat yang memakai T-shirt merah dan seluar track tadi mengekori di belakang. Mata-mata para penjual di semua gerai memandang ke arah Mimi. Mimi menjadi panik. “ Mengapa baju Mimi hari ini ada cacat ke, ada terkoyak dimana-mana ke, atau ke tudung salah pakai,” fikir hati Mimi.

Ketika, sedang berjalan ke kereta, tiba-tiba Mat tadi bersuara, "Assalamualaikum...buruk dan teruk sangat ke saya, semua orang pandang saya berjalan dengan awak," tegur  Mat.

Mimi  tersentak...,”Eehhhh...kenapa pulak Mat ni.”  Tanpa menjawab salamnya, khuatir terperangkap.  

" Ada apa?" tanya Mimi ringkas.

" Orang semua pandang saya jalan dengan awak, teruk sangat ke saya," jawab Mat tadi.

 " Maaf, saya tak tau," jawab Mimi.

" Saya ada beli keropok ni, saya tak  nak makan lagi( Sambil menghulurkan bungkusan dari tangannya)"  pelawa Mat.

" Maaf saya tak nak terima,” Mimi terus berjalan meninggalkannya

 " Kalau ada kerja kosong bagi tau saya yea" teriak Mat bertanya.

Tengku Mimi Khirlina rasa pelik, mengapa dia tanya kerja kosong? Bila Mimi masuk kereta dia ketawa dan salute angkat tangan. Siapa agaknya.................Matla'un tadi. Sumpah lepas ni  Mimi tidak akan ke pasar malam itu lagi.

Catatan


Kisah ini, diceritakan sendiri oleh Tengku Mimi Khirlina kepada  saya dan mengemukan soalan, Siapakah Mat ber-T-shirt merah dan berseluar track itu? Tentu para pembaca ada jawapannya. Satu persoalan lagi, mengapa Tengku Mimi Khirlina sudah lebih sepuluh tahun tidak pernah menjejak pasar malam itu? Dan  Mimi mengharap tidak ada orang perasan atau kenalnya. Satu soalan lagi, adakah Tengku Mimi Khirlina pergi di majlis perkahwinan itu?

ALAM SEKITAR YANG NYAMAN AKAN DAMAI DAN AMAN.

YB Abu Ubahdah Redha menanam pokok ketika
Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar NS.

KERATAN AKHBAR BERITA HARIAN

keratan akhbar Sisipan Sentral Berita Harian.

Selasa, 5 November 2013

TSB SUNGAI LAYANG

TSB Sungai Layang berjaya
Hasil  kerjasama dan muafakat wanita

REMBAU 4 NOV 2013 : Kejayaan Projek Tanaman Semula Berkelompok (TSB)  Sungai Layang  seluas 45 hektar , dekat sini, yang  diusahakan  sejak 2006  memulakan penorehan dan mengeluarkan hasil,  menjadi contoh kepada TSB Risda yang lain.

Kejayaan TSB ini berasaskan faktor pemilik atau pesertanya yang terdiri 25 orang wanita dan  turut diketuai oleh wanita.

Pengerusi  Jawatankuasa TSB Sungai Layang, Rokizan Ibrahim, 63, ketika ditemui menyatakan kesedaran dan mengambil inisiatif mengusahakan projek ini, apabila melihat keadaan tanah pusaka nenek moyang yang semak samun dan keadaan kampung yang terbiar.

 
Syed Rashid Syed Mohamad berucap,
Hjh Rokizan Ibrahim ( dua, kanan)
" Saya berusaha sendirian mengajak pemilik tanah pusaka adat bekerjasama memajukan harta nenek moyang itu agar mendatangkan hasil," katanya. 
" Seingat saya, semasa kanak-kanak harta tersebut di tanam semula, tidak pernah lagi ditanam semula setelah menjengkau 50 tahuan."

Timbalan  Pegawai Risda Negeri Sembilan Selatan, Syed Rashid Syed Mohamad  menganggap TSB Sungai Layang terbaik dan paling  berjaya di daerah ini yang sepatutnya menjadi contoh kepada TSB yang yang lain.
Katanya, kejayaan TSB ini dicapai bukan sahaja faktor permuafakatan dalam kalangan pesertanya tetapi kesubuhan pokok-pokok getah sehingga penorehan boleh dilakukan mengikut jadual.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan  program  permulaan penorehan  TSB Sungai Layang

Katanya, kejayaan itu mendorong Risda membina depoh pengumpulan getah yang pertama di daerah ini dengan kos RM 25,000, sebagai instrastruktur pemasaran mewujudkan  usahawan pekebun kecil dalam kalangan peserta TSB  dalam kawasan seluas 300 hektar sekeliling.

“ Pembinaan depoh ini mewujudkan jualan berkelompok supaya dapat dipantau oleh Risda, dan pemilik dapat menikmati harga yang kompitatif dan pulangan yang baik, ” katanya.


INGIN


Ingin kutulis rasa ini
yang menggelegak di bumi
waktu aku sendiri di sini
ditemani  rindu dan memori
agar tak lemas pada diri.

Ingin kunyanyikan lagu sedu
yang merobek setangkai hati
sejauh jarak memisah rindu
tetap terasa dekat selalu
agar tak lenyap menjadi debu.

Ingin kusyairkan pantun pilu
yang mencengkam jiwa
sepantas masa memisah rindu
tetap setia terpahat di kalbu
agar  tunggul sepi tetap menanti.

Ingin kumadahkan pada bulan
yang bertemankan cerita pedih
sedekad janji merantai hati
tetap menanti  dalam sayu dan sepi
agar cakerawala tahu pilunya  hati.

Ingin kunyatakan pada bintang
yang mengerti alam terkembang
setiap saat berbisik kisah semalam
tetap  menyimpan rahsia  silam.
agar alam tahu kulagukan lirik sayang.


5 Nov 2013 ( 1 Muharram)



Ahad, 3 November 2013

TUAN GURU HAJI IBRAHIM MUHAMMAD DAHAN BIDANG KEAGAMAAN



TOKOH: Ibrahim Bin Haji Muhammad Dahan Bin Hassan, Haji. terkenal dengan panggilan Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau,

TARIKH/TEMPAT LAHIR: 1907, di Kampung Seri Lemak, Rembau, Negeri Sembilan. Mennggal dunia pada 3 Ogos 1997.

PENDIDIKAN : (1) Sekolah Melayu Salak Nama, Rembau, Negeri Sembilan, 1916 – 1922. (2). Sekolah Arab al-Ahmadiah, Alor Setar, Kedah, 1925 – 1930. (3). Belajar Ilmu Falak dengan Tuan Guru Haji Wan Sulaiman Wan Sidek Syeikh Islamiah, Kedah pada masa yang sama (1925 – 1930). (4). Melanjutkan pengajian agama di Makkah bagi mendalami Ilmu Fikah, Tauhid dan Hadis. (5). Melanjutkan pengajian di sebuah pusat pengajian di Kota Bahru, Kelantan selama empat tahun. Beliau bersanad kepada Tok Kenali dan Haji Umar Sungai Keladi tentang ilmu nahu, Ilmu Syaraf, ilmu Falak dan Ilmu Arabiyah. (6). Bersanad juga kepada Sheikh Ahmad al-Fathani. 


KERJAYA: (1). Guru sekolah pondok di Kampung Bongek, Rembau, Negeri Sembilan, 1935. (2). Guru madrasah di Madrasah Islamiah Bongek, Rembau, Negeri Sembilan, 1946. (3). Guru Agama, Sekolah Menengah Undang Rembau, Negeri Sembilan, 1962 – 1968. (4). Penguatkuasa Zakat Fitrah Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, 1969. (5). Penceramah Bebas, mengajar di surau dan masjid di Tampin, Johol, Gemas dan Rembau, Negeri Smbilan, 1970 – 1997.

PENCAPAIAN: (1). Menubuhkan Madrasah al - Islamiah Bongek, Rembau, Negeri Sembilan, 1946 dengan mengadakan majlis ikhtifal diadakan setiap tahun hingga tahun 1959, (2). Sepanjang tempoh pendidikan agamanya, beliau mendapatkan ilmu keagamaan daripada ramai ulama tanah air pada zamannya. Antara guru agama dan ulama yang mendidiknya termasuklah Tuan Guru Mumkin Dhahir Bin Darus (al-Quran), Tuan Haji Muhamad Haji Mustafi (Ilmu Tajuid), Tuan Guru Haji Mustaffa Haji Mahmud (Bahasa Arab), Tuan Guru Haji Wan Sulaiman Wan Sidek Syeikh Islmiah, Kedah (ilmu Falak), Tuk Kenali, Kelantan (Ilmu Nahu, Ilmu Syaraf dan ilmu Arabiyah seperti Tasauf, Kerohanian dan Perubatan), (3). Bukunya Nur al-Aulad yang diterbitkan pada tahun 1939 telah dicetak ulang sebanyak enam kali, iaitu pada tahun 1949, 1952, 1963, 1975, 1989 dan 1991. (4). Meningkatkan taraf Madrasah Al-Islamiyah yang ditubuhkannya pada tahun 1946 kepada Sekolah Rendah Agama Rakyat Haji Ibrahim pada tahun 1957.(5). Madrasahnya di Bukit Sembilan, Chengkau Ulu, Rembau akan menjadi lokasi tetap Kampus Universiti al-Azhar, Cawangan Malaysia yang telah dengan rasminya diumumkan, 2008.

INOVASI: (1) Seorang “murobbi” atau mursyid yang mencadangkan pendidikan yang berkaitan dengan kebersihan persekitaran dan diri peribadi serta ketaatan beribadah. (2). Memimpin anak-ank didikannya supaya memperkerapkan amalan solat sunat tahajud dan solat sunat dhuha, manakala memperkerap amalan sholat fardhu berjemaah. (3) Mewakafkan tanahnya untuk membina madrasah al-Islamiyah dengan sistem pendidikan agamanya dinaik taraf mengikuti sistem pendidikan sekolah rendah agama rakyat (4) Menyemarakkan semangat dan meningkatkan inspirasi rakan-rakan sepengajiannya dalam usaha menyebarluaskan ilmu keagamaan ke seluruh pelusuk tanah air. Antara rakan-rakan sepengaajiannya termasuklah Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang, Melaka, Haji Abdul Ghani pondok Pasir Mas, Kelantan, Tuan Guru Haji Abd. Aziz Ibrahim dari Pendang, kedah, Tuan Haji Salleh Kemboja, Tuan Kadi Haji Mohd. Yatim Zainal Abidin dan penceramah bebas Tuan Haji Yassin Zainal Abidin, (dua adik-beradik), yang mengasaskan penubuhan Sekolah Agama Haji Mohd. Yatim di Ulu Gadong, Negeri Sembilan.

PENULISAN/PENERBITAN: (1). Nur al Aulad, oleh Ibrahim Muhammad Dahan, 1939. 92). Taqwim Sholat bagi kawasan Negeri Sembilan, Selangor dn Melaka, oleh Ibrahim Muhammad Dahan, 1954. (3). Shalah al Ghilman fi ‘Ibadah ar-Rahman, oleh Ibrahim Muhammad dahan, 1976. (4). Risalah Kecil mengandungi doa, waktu sholat dan arah Qiblat, oleh Ibrahim Muhammad Dahan, 1976. (5). Risalah mengerjakan Haji dan Umrah serta Teks khutbah Jumaat dan Hari Raya, oleh Ibrahim Muhammad Dahan. 1976.

ANUGERAH/GELARAN: Tidak ada 


PENUMPANG PERTAMA KOMUTER DARI REMBAU

Hari ini, tanggal 30 Ogos 2013 saya dimaklumkan perkhidmatan komuter KTMB mula beroperasi bermula pagi ini dengan tiga perjalanan. Jam 5.45 pagi, saya bergegas ke Stesen Keretapi Rembau yang baharu untuk merakamkan sejarah kemajuan Rembau dalam kemudahan awam.
Perjalanan yang pertama pada jam 6.00  pagi,  saya dimaklumkan hanya enam orang penumpang ke KL Central yang bertugas di Kuala Lumpur. Namun orang pertama membeli tiket , seorang wanita awal tiga puluhan yang dihantar oleh suaminya. Amiza Harun namanya yang tinggal di Taman Seri Rembau Fasa III, yang berkerja di ReadyCare, Damansara.  Sebelum ini, Amiza sudah lebih setahun guna komuter, dulu Stesen Sungai Gadut. Amiza mencatat sejarah sebagai wanita pertama membeli tiket menggunakan perkhidmatan Komuter KTMB dari Rembau-Rawang. Sementara lima orang lagi menyusur kemudian.
Kemudian perjalanan kedua, jam 6.30 pagi terdiri daripada lapan orang penumpang termasuk lima pelajar Cina belajar di sekolah di ACS Seremban.
“ Mengapa anda menaiki komuter?”  saya tanya salah seorang pelajar tersebut.
“ Jimat 40 sen dan lebih selesa,” jawabnya ringkas.
Seterusnya, perjalanan ketiga, jam 7.00 pagi, hanya dua penumpang warga emas suami isteri.
“ Tuan haji hendak ke mana?” saya tanya beliau.
“ Klang, ke rumah terbuka anak saya,” jawab Haji Nordin. “ Murah, kami warga emas cuma RM 4.50 sahaja,” tambah beliau.
“ Macam mana Tuan Haji tahu,  Komuter mula beroperasi hari ini,” tanya saya lagi.
“  Saya lihat komuter sudah mula menggunakan landasan. Semalam saya datang ke sini dan dimaklumkan mula operasi pagi ini,” kata Haji Nordin.
“ Apa pendapat Tuan Haji, bila perkhidmatan komuter dimulakan di sini?”  saya tanya lagi.
Penumpang pertama bersama Mohd Hider Yusoff, 
General Manager Commuter Services, KTMB.

“ Bagus. Ini yang kami tunggu selama ini. Kami boleh terus ke Klang tanpa pergi ke Seremban lagi,” jawabnya.
Sebelum komuter berlepas, wartawan sambilan akhbar Cina mengambil gambar Haji Nordin bersama isterinya dari beberapa sudut. Bahkan saya mengambil kesempatan meminta wartawan itu mengambil gambar saya. Apabila saya paparkan dalam FB, ramai kawan-kawan menganggap saya juga penumpang hari pertama pada pagi itu.

Catatan


Rembau, sebuah daerah kecil yang ternama yang akan dipelihara identitinya demi menjaga kepentingan orang Melayu di negeri beradat ini. Pembangunan akan berfokuskan kepada pembangunan institusi dan tidak pembangunan komersial. Matlamat tersebut,  sewajarnya selari dengan pembangunan prasarana yang baik ini, dengan membangunkan produk-produk pelancongan historical heritage,yang kaya di daerah ini, sebagai daya penarik pelawat hujung minggu datang ke daerah Rembau.