SEJARAH PEMBINAAN
MASJID KARIAH KAMPUNG
SERI LEMAK
Mereka yang pernah sampai ke Kampung Selemak, Rembau tidak akan mudah lupa dengan sebuah masjid
yang menjadi kemegahan penduduk kampung ini. Begitu juga para makmum yang
pernah menunaikan solat atau apa jua kegiatan agama di situ,
Bersebelahan
dengan masjid yang tersergam gagah kini, terdapat sebuah bangunan lama yang
akan dicoretkan di sini. Bangunan lama ini ialah bekas bangunan masjid lama
yang paling awal dibina di kampung ini
yang sedikit benar diketahui oleh penduduk setempat, khususnya generasi muda.
PENEROKA
Menurut
ceritanya, kampung ini dibuka oleh Dato Putih bersama-sama para pengikutnya.
Adalah dipercayai Dato Putih ini
berketurunan daripada keramat Pagar Ruyong yang mashur pada masa dahulu
bernama, Haji Salleh. Beliau
terpaksa meninggalkan negeri Minangkabau
kerana kononnya telah banyak keramat di sana.
Kubur Dato Putih ini masih ada lagi pada masa ini di Kampung Selemak Tengah yang sentiasa
dipelihara dan dihormati oleh penduduk di situ.
Apabila
penduduk kampung ini bertambah ramai maka mereka meluaskan lagi kampung itu.
Pada masa yang sama mereka
bermuafakat mendirikan sebuah
rumah tempat mengerjakan amal ibadat. Orang
yang sangat mengambil berat
tentang rancangan ini seorang
hamba yang bernama Haji Hassan. Beliau ini berasal dari Kampung Nerasau, dalam daerah Rembau dan
datang menyemenda ( berkahwin ) di kampung ini. Setelah bermuafakat, penduduk
di sini bersetuju mengeluarkan
belanja bagi menjayakan rancangan ini.
Antara mereka ada yang memberi harta benda seperti emas, perak, beras, padi dan
wang ringgit mengikut kemampuan masing-masing.
Begitulah
pengorbanan yang mereka berikan untuk
menjayakan rancangan yang mulia ini. Dalam pada itu, mengikut ceritanya Haji Hassan yang bijaksana dan berada
telah banyak memberi pengorbanan. Di samping itu, orang ramai khususnya
penduduk yang berjiran dengan kampung ini turut menghulurkan sumbangan.
TUKANG
Setelah
terhimpun beberapa banyak emas-perak, wang-ringgit dan beras-padi bagi
mengongkosi rancangan pembinaan masjid
ini, maka usaha mencari tukang yang sesuai dilakukan. Setelah puas dicanangkan
ke sana ke mari maka dikenalpasti
seorang yang ahli dalam bangunan bangsa Jawa, bernama Haji Mahmud yang tinggal di Melaka. Beliau ditugaskan
untuk mengerjakan usaha pembinaan masjid ini mendorong beliau berpindah ke
sini. Kerja pembinaan masjid kayu ini bermula dalam tahun 1821 dan siap pada
tahun 1824.
Kemudian,
Haji Mahmud berpindah ke kampung ini bersama-sama ahli keluargan dan para penolongnya. Keluarga Haji Mahmud
dikedimkan ( masuk Suku Seri Lemak ) dengan penduduk di sini. Pada hari ini keturunan Haji Mahmud masih ada
lagi bermastautin di sini. Apabila Haji Mahmud meninggal dunia beliau telah
dikebumikan di kawasan masjid dan begitu
juga isterinya. Kubur itu masih ada lagi di sebelah kanan masjid itu.
MASJID EMPAT SELA
Setelah
selesai pembinaannya, masjid itu sangatlah elok bangunannya. Semua alat perkakasnya diperbuat daripada kayu belaka. Atapnya
genting yang disediakan oleh tukang Melayu juga. Di dalam masjid itu terdapat
ukiran-ukiran tangan yang menarik lagi
indah dan halus
perbuatannya. Masjid ini dinamakan
Masjid Empat Sela kerana pada masa itu
hanya ada empat buah masjid yang besar dalam daerah Rembau. Masjid-masjid itu
terdiri daripada masjid-masjid di Kampung Chembong, Kampung Bongek, Kampung
Legong dan Kampung Selemak sendiri. Masjid-masjid ini merupakan masjid-masjid
yang paling awal di bina di daerah Rembau.
MASJID UNDANG LUAK REMBAU
Majlis
istiadat pembukaan Masjid Selemak ini
telah dibuat secara besar-besaran. Ramai para jemputan dan para pembesar daerah
Rembau telah hadir pada hari tersebut. Sebagai sebuah daerah yang diperintah
oleh Undang Luak Rembau sudah tentu juga
masjid ini dipunyai oleh Undang Luak Rembau. Di mana Undang Luak Rembau
akan datang menunaikan fardhu Jumaat
bergilir-gilir di kalangan empat
buah masjid yang telah dinyatakan di atas tadi.
Biasanya,
kedatangan Undang Luak Rembau diiringi oleh Orang Besar Dua Belas dari Balai
Undang Luak Rembau. Apabila, beliau sampai di sempadan kampung ini beliau
disambut oleh Dato Sinda Maharaja, Lembaga Suku Seri Lemak bersama-sama
penduduk di sini. Dari situ, berjalanlah menuju ke masjid dengan iringan
pukulan tetawak dan cadang.
Di
dalam masjid, Undang Luak Rembau
ditempatkan khas di tempat yang beralaskan dengan hamparan permaidani.
Setelah selesai sembahyang fardhu Jumaat, Undang Luak Rembau akan pulang dengan dihantar oleh penduduk di
sini hingga ke sempadan kampung. Lantas
diiringi oleh Orang Besar Dua Belas ke Balai Undang.
MEMILIH PEGAWAI
Pada
awalnya masjid ini ditadbir oleh sebilangan pegawai yang dilantik oleh penduduk
di sini; setelah mendapat persetujuan daripada keempat-empat Perut dan Suku
Seri Lemak ini. Jawatan Imam akan dilantik secara bergilir-gilir daripada empat
Perut ini. Jawatan Bilal akan dilantik daripada Perut Biduanda ( Donda ).
Sementara jawatan Khatib dikhaskan kepada suku-suku Batu Hampar, Seri
Melenggang, dan Tanah Datar dilantik
secara bergilir-gilir. ( Ketiga-tiga suku ini bergantung kepada Dato Sinda
Maharaja pada masa dahulu ). Sementara jawatan
Mungkin pula adalah hak orang-orang Suku Tiga Batu.
Masjid
ini dilengkapi dengan mimbar buatan tangan yang
indah dan sebuah bedok atau
tabuh yang panjangnya hampir 33 kaki.
KERAMAT
Sebagai
sebuah masjid yang tertua, dipercaya masjid ini mempunyai keramat. Keramatnya
masyhur di merata tempat dan daerah ini. Menurut ceritanya, keramat ada tujuh.
Empat dibawa oleh Dato Putih sendiri dan tiga lagi keramat yang sedia menanti
di kampung ini. Keramat-keramat yang dibawa oleh Dato Putih ialah;
i.
Dato
Semambu Tunggal,
ii.
Dato
Sebatang Tujuh,
iii.
Dato
Sami Alam Tunggal,
iv.
Dato
Si Minta Alam Tunggal;
Sementara
keramat-keramat yang sedia menunggu ialah;
i.
Dato
Sheikh Muhammad Ali,
ii.
Dato
Meredat Ali,
iii.
Dato
Teropong Rantai Besi.
Dipercayai
ketujuh-tujuh keramat ini bekerja menjaga dan memelihara keselamatan kampung
ini daripada segara rupa musuh. Ramai penduduk daerah ini dan daerah lain juga
mempercayai keramat-keramat ini. Oleh itu ramailah yang berkaul ke masjid ini apabila meminta sesuatu dan
setelah hajat tercapai, mereka mereka datang membayar niat di masjid ini.
Tiap-tiap orang yang berniat mestilah
patuh kepada yang dijanjikan. Andainya, ada yang cuba mengingkarinya atau tidak jujur dalam pembayaran niat itu,
maka adalah petunjuk yang akan diterimanya. Pernah orang jauh yang hendak
membayar niat, tiba-tiba kereta yang dinaikinya tergelincir daripada tambah
jalan ke masjid ini. Puaslah cuba menarik kereta itu, tetapi tiada juga
berjaya. Setelah dibakar kemanyan di masjid itu
baharulah kereta itu dapat ditarik naik.
BUKTI KERAMAT
Sehingga
hari ini ramai yang telah berjumpa dengan keramat-keramat itu dan ramai juga
yang telah merasa penangannya, termasuk askhar-ashkar Jepun yang pernah tiba di kampung ini dahulu.
Mereka yang pernah terjumpa mengatakan keramat itu merupakan dirinya dengan apa-apa sahaja rupa. Biasanya menyerupakan manusia atau harimau dan biasanya malam Jumaat dan sesiapa yang ke
masjid pada waktu subuh.
Beberapa kejadian yang menghairankn telah membuktikan keramat-keramat itu. Satu
kisah diceritakan, pada masa dahulu seorang hamba Allah telah tertidur dalam masjid itu. Apa tersedar daripada tidur
didapati dirinya sedang tidur di dalam sawah padi. Menurut kepercayaan orang
tersebut dirinya kotor.
Menurut
satu cerita yang lain pula, seorang hamba Allah lain juga tertidur dalam masjid itu. Apabila dia
tersedar daripada tidurnya, didapati
dirinya telah beralih ke bahagian lain masjid itu. Orang itu adalah
seorang yang kuat agama juga, jadi tempat tidurnya sahaja berubah.
KEJADIAN LAIN
Beberapa
kejadian lain yang menghairankan telah
juga ditunjukkan oleh keramat itu. Pada
suatu hari, semasa Perang Jepun dahulu
ashkar-ashkar Jepun telah sampai ke masjid ini pada hari sehari
sebelum hari berpuasa. Kebiasaannya,
pada hari itu ramailah orang berkumpul di masjid itu kerana majlis mantai atau
menyembelih kerbau untuk orang kampung.
Apabila
ashkar-ashkar Jepun sampai di masjid
itu, mereka terjumpa dua batang meriam
atau lela yang terletak pada kaki tangga masjid. Mereka hendakkan lela itu dan orang berada di situ
tidak berani melarangnya. Orang itu hanya memandang sahaja
perbuatan ashkar-ashkar Jepun itu . Pada mula seorang ashkar sahaja boleh memikul sebatang lela dan membawa
pergi. Tetapi secara tiba-tiba ashkar
tadi merasa berat sedikit dan perlu dibantu oleh seoran ashkar
lagi. Kemudian ashkar berdua itu pun
terasa berat juga lalu meminta bantuan seorang lagi. Ketiga-tiga juga merasa
berat memikul lela yang kecil itu.
Akhirnya, ramailah yang menolong memikulnya sehingga tiada lagi tempat
untuk meletakkan bahu untuk bersama-sama
memikulnya. Kesudahannya, terpaksalah ashkar Jepun tersebut
meninggalkan lela itu, di tengah-tengah sawah arah ke Kampung Sungai Layang. Apabila ashkar
Jepun telah beredar, pergilah orang yang
berada di situ mengambilnya semula dan meletakkan pada tempatnya.
Satu
lagi kisah yang menceritakan keramat adalah seperti berikut. Kira-kira lima
tahun lalu ( 1950-an ) sekumpulan orang kampung telah mencari belalang
berhampiran Lubok Rusa. Kawasan ini
terletak di hulu sawah. Ketika mereka sedang mencari belalang itu ada
seorang daripada mereka berseru-seru
hendak menengok keramat masjid Selemak, kiranya keramat itu dapat merupakan
dirinya, maka orang tadi akan bersedekah
pisang berharga dua sen di masjid itu.
Sejurus kemudian merupalah seekor harimau yang amat besar berhampiran tempat
mereka mencari belalang tadi. Jadi, orang-orang pun bertempiaran lari membawa
diri masing-masing. Apabila sampai di
rumah mereka berkumpul dan memarahi orang yang berseru tadi. Sedang mereka
memarahi orang tadi, muncul semula harimau itu beberapa ela sahaja jauhnya daripada tempat mereka berkumpul itu. Dengan
itu baharulah orang-orang itu sedar akan kuasa keramat itu. Orang yang berseru
itu masih lagi hidup pada hari ini. Namun namanya dirahsiakan untuk nama baiknya.
MASJID KEDUA
Masjid
Selemak yang masyhur yang menjadi
kemegahan penduduk ketika itu telah
diganti dengan sebuah masjid baru yang
didirikan pada tahun 1927 sebelum Perang Dunia Kedua dahulu. Masjid lama tersebut yang tinggal
hanya tiang tengahnya sebanyak empat batang masih terdiri dengan gagahnya di
tapak lamanya dahulu. Walaupun telah terdiri di situ beratus-ratus tahun ditempa hujan dan panas, namun masih teguh
lagi. Kayu-kayunya dahulu telah digunakan untuk mendirikan sebuah bangunan baru di situ. Bangunan lama
inilah tempat orang membayar niatnya.
Masjid banguan batu ini
bersesuaian dengan pembinaan masjid ketika itu.
Pada
peringkat permulaan masjid baru ini
dibangunkan dengan daya usaha penduduk setempat. Namun hanya dapat disiapkan sepenuhnya di atas bantuan Dato Shahbandar Luak Sungai Ujung pada masa itu. Bangunan
telah beberapa kali diubahsuai.
Mengenai
keramat-keramat yang menjadikan masjid termasyhur telah dipindahkan ke masjid
baru tersebut. Kerja-kerja pemindahan itu telah dilakukan oleh seorang Pawang
yang bernama Pawang Ishak ( atau Pawang
Sahak ). Caranya ialah dengan membakar kemenyan di atas masjid lama dahulu dan dari situ dibawalah kemenyan yang sedang terbakar itu ke atas masjid yang baru itu. Pawang
Sahak telah meninggal dunia tidak berapa lama setelah tamatnya Perang
Dunia Kedua dahulu.
MASJID KETIGA
Kemudian
dicadangkan untuk mengubahsuai masjid
batu yang sedia ada itu. Namun terpaksa dibina semula setelah hampir semua
bangunan asal runtuh.( kerana tidak ada konkrit ). Oleh sebab itu bangunan baru
terpaksa dibina pada tahun 1984.
Namun begitu identiti reka bentuk asal tetap
dikekalkan. Yang Berhormat Dato Mokhtar
Haji Hashim, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia, yang
menjadi Ahli Parlimen Tampin pada masa itu telah banyak memberi pertolongan dan
sumbangan peruntukan bagi menyudahkan bangunan baru ini; selain daripada derma
orang ramai dan penduduk setempat.
MIMBAR
Selain
daripada itu, sebuah mimbar yang
terdapat di masjid lama itu telah dipindahkan ke masjid baru itu. Masjid baru
ini dibuat daripada batu-bata dan tukangnya seorang Cina pula. Mimbar
tersebut diperbuat daripada kayu yang baik, penuh dengan ukiran tangan
yang cantik dan menarik. Pembuatannya sangat halus menggambarkan betapa kayanya
kesenian orang Melayu zaman dahulu. Member ini melambangkan kebijaksanaan orang
Melayu zaman dahulu dan masih gagah hingga hari ini. Ramai pihak yang tertarik
dengan member tersebut.
Pada
hari ini masjid yang baru itu telah digunakan
sebagai tempat beribadat .
Sementara masjid lama yang masyhur itu tinggal bekasnya sahaja lagi. Namun
kisahnya masih tersemat di hati orang ramai yang mengetahuinya.
Penulisan
ini sebagai usaha untuk menyampaikannya
kepada generasi hari ini . Moga-moga kasihnya akan terus diketahui oleh
generasi akan datang.
Pada
hari ini, Masjid Kariah Selemak ini terdiri daripada seluruh Kampung Selemak,
Kampung Pulau Bintongan ( Pulau Manggar ), dan sebahagian Kampung Sungai
Layang. Dari segi struktur pentadbiran daerah Rembau kampung ini mempunyai sebuah Jawatankuasa
Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK ) Kampung Selemak, kecuali Kampung
Pulau Bintongan di bawah JKKK Kampung Batu dan sebahagian Kampung Sungai Layang
di bawah JKKK Kampung Sungai Layang.
Informer : Tok Aki Wahab
Pencatat :
Mohd. Yusof Dahan
Pengedit :
Mohamad Haji Abd. Ghani pada 31 Disember 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan