Selasa, 29 Oktober 2013

PENUMPANG PERTAMA KOMUTER REMBAU-KL

Azwani Harun penumpang pertama Komuter Rembau

REMBAU : Seorang pekerja swasta, Azwani Harun,32, dari Taman Seri Rembau Fasa III, penumpang pertama membeli tiket perkhidmatan komuter KTMB dari Stesen Keretapi Rembau, dekat sini,  yang mula beroperasi  pagi  ini.
“ Saya telah berulang ke Kuala Lumpur lebih satu tahun dengan menggunakan Stesen Sungai  Gadut sebelum ini, dan berasa senang hati  bila stesen ini dibuka, ” katanya.
Beliau yang bertugas di Damansara,  mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan KTMB memulakan perkhidmatan ini kerana memberi  kemudahan penduduk Rembau dan yang berhampiran  yang bekerja di Kuala Lumpur.
Perjalanan pertama, seramai  enam orang penumpang bersama-sama Azwani bertolak ke KL Central  pukul   6.00 pagi, diikuti perjalanan kedua seramai lapan orang  terdiri lima pelajar ke Seremban dan perjalanan  ketiga seramai dua orang warga emas ke Klang.
Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter KTMB, Mohd Hider Yusoff, yang berada di stesen pagi ini menyifatkan 16 penumpang pertama pagi ini sebagai satu petanda yang baik dan memberangsangkan, yakin bilangan penumpang akan bertambah dari masa ke masa apabila penduduk telah mengetahui pekhidmatan ini.
Menurut Mohd Hider, buat permulaan  pada hari Isnin-Jumaat perkhidmatan komuter memulakan perkhidmatan dengan tiga perjalanan sebelah pagi pada jam 6.00, 6.30 dan 7.00. dan tiga perjalanan sebelah petang pada jam 8.00, 8.30 dan 9.00 malam sampai ke Stesen Rembau.
Katanya, pada hari Sabtu,  Ahad serta cuti umum perjalanan pagi jam 11.15, 11.45 dan 12.15 dan perjalanan petang  sama dengan hari-hari biasa.
“ Jadual perjalanan awal ini akan dikemaskinikan dari masa ke masa mengikut keperluan dan sambutan orang ramai, ” katanya.
Pemandu perjalanan pertama, Ali Azizan, 43, yang telah lebih satu tahun membawa perkhidmatan komuter menyatakan berasa bertuah dan menyifatkan dengan enam penumpang ke KL Central pada pagi ini, beliau  yakin sebagai satu permulaan yang baik.
“ Saya rasa orang ramai belum mengetahui perkhidmatan komuter bermula pagi ini dan orang ramai akan menggunakan kemudahan ini untuk ke KL atau Seremban sedikit masa lagi,  ” katanya.
Katanya, orang ramai yang bekerja di Kuala Lumpur boleh menggunakan perkhidmatan komuter ini  lebih selesa kerana lebih menjimatkan  masa dan kewangan.

“ Kalau bekerja dan menyewa tinggal di Kuala Lumpur, kos kehidupan tinggi dan masa  yang sama dengan tinggal di kampung dengan kesesakan lalulintas  di  KL,” tambah beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan