Sabtu, 28 Disember 2013

SEJARAH PEMBINAAN MASJID KARIAH KAMPUNG SERI LEMAK

SEJARAH PEMBINAAN
MASJID KARIAH  KAMPUNG SERI LEMAK

Mereka yang pernah sampai ke Kampung Selemak, Rembau  tidak akan mudah lupa dengan sebuah masjid yang menjadi kemegahan penduduk kampung ini. Begitu juga para makmum yang pernah menunaikan solat atau apa jua kegiatan agama di situ,

Bersebelahan dengan masjid yang tersergam gagah kini, terdapat sebuah bangunan lama yang akan dicoretkan di sini. Bangunan lama ini ialah bekas bangunan masjid lama yang paling awal  dibina di kampung ini yang sedikit benar diketahui oleh penduduk setempat, khususnya generasi muda.

PENEROKA

Menurut ceritanya, kampung ini dibuka oleh Dato Putih bersama-sama para pengikutnya. Adalah dipercayai Dato Putih  ini berketurunan daripada keramat Pagar Ruyong yang mashur pada masa dahulu bernama, Haji Salleh. Beliau terpaksa meninggalkan  negeri Minangkabau kerana kononnya telah banyak keramat di sana.  Kubur Dato Putih ini masih ada lagi pada masa ini  di Kampung Selemak Tengah yang sentiasa dipelihara dan dihormati oleh penduduk di situ.

Apabila penduduk kampung ini bertambah ramai maka mereka meluaskan lagi kampung itu. Pada masa yang sama mereka  bermuafakat  mendirikan sebuah rumah tempat mengerjakan amal ibadat. Orang  yang sangat mengambil berat  tentang rancangan ini  seorang hamba yang bernama Haji Hassan. Beliau ini berasal  dari Kampung Nerasau, dalam daerah Rembau dan datang menyemenda ( berkahwin ) di kampung ini. Setelah bermuafakat, penduduk di sini  bersetuju mengeluarkan belanja  bagi menjayakan rancangan ini. Antara mereka ada yang memberi harta benda seperti emas, perak, beras, padi dan wang ringgit mengikut kemampuan masing-masing.

Begitulah pengorbanan yang mereka berikan  untuk menjayakan rancangan yang mulia ini. Dalam pada itu, mengikut ceritanya  Haji Hassan yang bijaksana dan berada telah  banyak memberi pengorbanan.  Di samping itu, orang ramai khususnya penduduk yang berjiran dengan kampung ini turut menghulurkan sumbangan.

TUKANG

Setelah terhimpun beberapa banyak emas-perak, wang-ringgit dan beras-padi bagi mengongkosi  rancangan pembinaan masjid ini, maka usaha mencari tukang yang sesuai dilakukan. Setelah puas dicanangkan ke sana ke mari maka dikenalpasti  seorang yang ahli dalam bangunan bangsa Jawa, bernama Haji Mahmud  yang tinggal di Melaka. Beliau ditugaskan untuk mengerjakan usaha pembinaan masjid ini mendorong beliau berpindah ke sini. Kerja pembinaan masjid kayu ini bermula dalam tahun 1821 dan siap pada tahun 1824.

Kemudian, Haji Mahmud berpindah ke kampung ini bersama-sama ahli keluargan dan  para penolongnya. Keluarga Haji Mahmud dikedimkan ( masuk Suku Seri Lemak ) dengan penduduk di sini.  Pada hari ini keturunan Haji Mahmud masih ada lagi bermastautin di sini. Apabila Haji Mahmud meninggal dunia beliau telah dikebumikan di kawasan masjid  dan begitu juga isterinya. Kubur itu masih ada lagi di sebelah kanan masjid itu.

MASJID EMPAT SELA

Setelah selesai pembinaannya, masjid itu sangatlah elok bangunannya.  Semua alat perkakasnya  diperbuat daripada kayu belaka. Atapnya genting yang disediakan oleh tukang Melayu juga. Di dalam masjid itu terdapat ukiran-ukiran tangan yang menarik lagi  indah  dan halus perbuatannya.  Masjid ini dinamakan Masjid Empat Sela  kerana pada masa itu hanya ada empat buah masjid yang besar dalam daerah Rembau. Masjid-masjid itu terdiri daripada masjid-masjid di Kampung Chembong, Kampung Bongek, Kampung Legong dan Kampung Selemak sendiri. Masjid-masjid ini merupakan masjid-masjid yang paling awal di bina di daerah Rembau.

MASJID  UNDANG LUAK REMBAU

Majlis istiadat  pembukaan Masjid Selemak ini telah dibuat secara besar-besaran. Ramai para jemputan dan para pembesar daerah Rembau telah hadir pada hari tersebut. Sebagai sebuah daerah yang diperintah oleh Undang Luak Rembau sudah tentu juga  masjid ini dipunyai oleh Undang Luak Rembau. Di mana Undang Luak Rembau akan datang menunaikan fardhu Jumaat  bergilir-gilir  di kalangan empat buah masjid yang telah dinyatakan di atas tadi.

Biasanya, kedatangan Undang Luak Rembau diiringi oleh Orang Besar Dua Belas dari Balai Undang Luak Rembau. Apabila, beliau sampai di sempadan kampung ini beliau disambut oleh Dato Sinda Maharaja, Lembaga Suku Seri Lemak bersama-sama penduduk di sini. Dari situ, berjalanlah menuju ke masjid dengan iringan pukulan tetawak dan cadang.

Di dalam masjid, Undang Luak Rembau  ditempatkan khas di tempat yang beralaskan dengan hamparan permaidani. Setelah selesai sembahyang fardhu Jumaat, Undang Luak Rembau  akan pulang dengan dihantar oleh penduduk di sini  hingga ke sempadan kampung. Lantas diiringi oleh Orang Besar Dua Belas ke Balai Undang.

 MEMILIH  PEGAWAI

Pada awalnya masjid ini ditadbir oleh sebilangan pegawai yang dilantik oleh penduduk di sini; setelah mendapat persetujuan daripada keempat-empat Perut dan Suku Seri Lemak ini. Jawatan Imam akan dilantik secara bergilir-gilir daripada empat Perut ini. Jawatan Bilal akan dilantik daripada Perut Biduanda ( Donda ). Sementara jawatan Khatib dikhaskan kepada suku-suku Batu Hampar, Seri Melenggang, dan Tanah Datar  dilantik secara bergilir-gilir. ( Ketiga-tiga suku ini bergantung kepada Dato Sinda Maharaja pada masa dahulu ). Sementara jawatan  Mungkin pula adalah hak orang-orang Suku Tiga Batu.

Masjid ini dilengkapi dengan mimbar buatan tangan yang  indah dan  sebuah bedok atau tabuh  yang panjangnya hampir 33 kaki.

KERAMAT

Sebagai sebuah masjid yang tertua, dipercaya masjid ini mempunyai keramat. Keramatnya masyhur di merata tempat dan daerah ini. Menurut ceritanya, keramat ada tujuh. Empat dibawa oleh Dato Putih sendiri dan tiga lagi keramat yang sedia menanti di kampung ini. Keramat-keramat yang dibawa oleh Dato Putih ialah;
i.              Dato Semambu Tunggal,
ii.            Dato Sebatang Tujuh,
iii.           Dato Sami Alam Tunggal,
iv.           Dato Si Minta Alam Tunggal;

Sementara keramat-keramat yang sedia menunggu ialah;
i.              Dato Sheikh Muhammad Ali,
ii.            Dato Meredat Ali,
iii.           Dato Teropong Rantai Besi.

Dipercayai ketujuh-tujuh keramat ini bekerja menjaga dan memelihara keselamatan kampung ini daripada segara rupa musuh. Ramai penduduk daerah ini dan daerah lain juga mempercayai keramat-keramat ini. Oleh itu ramailah yang berkaul  ke masjid ini apabila meminta sesuatu dan setelah hajat tercapai, mereka mereka datang membayar niat di masjid ini. Tiap-tiap orang yang berniat  mestilah patuh kepada yang dijanjikan. Andainya, ada yang cuba mengingkarinya  atau tidak jujur dalam pembayaran niat itu, maka adalah petunjuk yang akan diterimanya. Pernah orang jauh yang hendak membayar niat, tiba-tiba kereta yang dinaikinya tergelincir daripada tambah jalan ke masjid ini. Puaslah cuba menarik kereta itu, tetapi tiada juga berjaya. Setelah dibakar kemanyan di masjid itu  baharulah kereta itu dapat ditarik naik.

BUKTI  KERAMAT

Sehingga hari ini ramai yang telah berjumpa dengan keramat-keramat itu dan ramai juga yang telah merasa penangannya, termasuk askhar-ashkar Jepun  yang pernah tiba di kampung ini dahulu. Mereka yang pernah terjumpa mengatakan keramat itu merupakan dirinya  dengan apa-apa sahaja rupa. Biasanya  menyerupakan manusia atau harimau  dan biasanya malam Jumaat dan sesiapa yang ke masjid pada waktu subuh.

Beberapa  kejadian yang menghairankn  telah membuktikan keramat-keramat itu. Satu kisah diceritakan, pada masa dahulu seorang hamba Allah telah tertidur  dalam masjid itu. Apa tersedar daripada tidur didapati dirinya sedang tidur di dalam sawah padi. Menurut kepercayaan orang tersebut dirinya  kotor.

Menurut satu cerita yang lain pula, seorang hamba Allah lain juga  tertidur dalam masjid itu. Apabila dia tersedar daripada tidurnya, didapati  dirinya telah beralih ke bahagian lain masjid itu. Orang itu adalah seorang yang kuat agama juga, jadi tempat tidurnya sahaja berubah.

KEJADIAN LAIN

Beberapa kejadian lain yang menghairankan  telah juga ditunjukkan oleh keramat itu.  Pada suatu hari, semasa Perang Jepun dahulu  ashkar-ashkar  Jepun  telah sampai ke masjid ini pada hari sehari sebelum hari berpuasa.  Kebiasaannya, pada hari itu ramailah orang berkumpul di masjid itu kerana majlis mantai atau menyembelih kerbau untuk orang kampung.

Apabila ashkar-ashkar Jepun sampai  di masjid itu, mereka terjumpa dua batang meriam  atau  lela  yang terletak pada kaki tangga  masjid. Mereka  hendakkan lela itu dan orang berada di situ tidak berani melarangnya. Orang itu hanya memandang  sahaja  perbuatan ashkar-ashkar Jepun itu . Pada mula seorang ashkar sahaja  boleh memikul sebatang lela dan membawa pergi. Tetapi secara  tiba-tiba ashkar tadi  merasa berat  sedikit dan perlu dibantu oleh seoran ashkar lagi.  Kemudian ashkar berdua itu pun terasa berat juga lalu meminta bantuan seorang lagi. Ketiga-tiga juga merasa berat memikul lela yang kecil itu.  Akhirnya, ramailah yang menolong memikulnya sehingga tiada lagi tempat untuk meletakkan bahu  untuk bersama-sama memikulnya. Kesudahannya, terpaksalah ashkar Jepun  tersebut  meninggalkan lela itu, di tengah-tengah sawah  arah ke Kampung Sungai Layang. Apabila ashkar Jepun telah beredar, pergilah orang yang  berada di situ mengambilnya semula dan meletakkan pada tempatnya.

Satu lagi kisah yang menceritakan keramat adalah seperti berikut. Kira-kira lima tahun lalu ( 1950-an ) sekumpulan orang kampung telah mencari belalang berhampiran Lubok Rusa. Kawasan ini  terletak di hulu sawah. Ketika mereka sedang mencari belalang itu ada seorang  daripada mereka berseru-seru hendak menengok keramat masjid Selemak, kiranya keramat itu dapat merupakan dirinya, maka orang tadi akan  bersedekah pisang berharga dua sen  di masjid itu. Sejurus kemudian merupalah seekor harimau yang amat besar berhampiran tempat mereka mencari belalang tadi. Jadi, orang-orang pun bertempiaran lari membawa diri masing-masing.  Apabila sampai di rumah mereka berkumpul dan memarahi orang yang berseru tadi. Sedang mereka memarahi orang tadi, muncul semula harimau itu beberapa ela sahaja jauhnya  daripada tempat mereka berkumpul itu. Dengan itu baharulah orang-orang itu sedar akan kuasa keramat itu. Orang yang berseru itu masih lagi hidup pada hari ini. Namun namanya dirahsiakan  untuk nama baiknya.

MASJID KEDUA

Masjid Selemak yang masyhur  yang menjadi kemegahan penduduk ketika itu  telah diganti dengan sebuah masjid  baru yang didirikan pada tahun 1927 sebelum Perang Dunia Kedua  dahulu. Masjid lama tersebut yang tinggal hanya tiang tengahnya sebanyak empat batang masih terdiri dengan gagahnya di tapak lamanya dahulu. Walaupun telah terdiri di situ  beratus-ratus tahun  ditempa hujan dan panas, namun masih teguh lagi. Kayu-kayunya dahulu telah digunakan untuk mendirikan  sebuah bangunan baru di situ. Bangunan lama inilah tempat orang membayar niatnya.  Masjid banguan batu ini  bersesuaian dengan pembinaan masjid ketika itu.

Pada peringkat permulaan masjid baru ini  dibangunkan dengan daya usaha penduduk setempat.  Namun hanya dapat disiapkan sepenuhnya  di atas bantuan Dato Shahbandar  Luak Sungai Ujung pada masa itu. Bangunan telah beberapa kali diubahsuai.


Mengenai keramat-keramat yang menjadikan masjid termasyhur telah dipindahkan ke masjid baru tersebut. Kerja-kerja pemindahan itu telah dilakukan oleh seorang Pawang yang bernama Pawang Ishak ( atau Pawang  Sahak ). Caranya ialah dengan membakar kemenyan  di atas masjid lama dahulu dan dari situ  dibawalah kemenyan  yang sedang terbakar itu  ke atas masjid yang baru itu. Pawang Sahak  telah meninggal dunia  tidak berapa lama setelah tamatnya Perang Dunia Kedua dahulu.

MASJID KETIGA

Kemudian dicadangkan untuk mengubahsuai  masjid batu yang sedia ada itu. Namun terpaksa dibina semula setelah hampir semua bangunan asal runtuh.( kerana tidak ada konkrit ). Oleh sebab itu bangunan baru terpaksa dibina pada tahun 1984.

 Namun begitu identiti reka bentuk asal tetap dikekalkan. Yang Berhormat Dato Mokhtar  Haji Hashim, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia, yang menjadi Ahli Parlimen Tampin pada masa itu telah banyak memberi pertolongan dan sumbangan peruntukan bagi menyudahkan bangunan baru ini; selain daripada derma orang ramai dan penduduk setempat.

MIMBAR

Selain daripada itu, sebuah mimbar  yang terdapat di masjid lama itu telah dipindahkan ke masjid baru itu. Masjid baru ini dibuat daripada batu-bata dan tukangnya seorang Cina pula.  Mimbar  tersebut diperbuat daripada kayu yang baik, penuh dengan ukiran tangan yang cantik dan menarik. Pembuatannya sangat halus menggambarkan betapa kayanya kesenian orang Melayu zaman dahulu. Member ini melambangkan kebijaksanaan orang Melayu zaman dahulu dan masih gagah hingga hari ini. Ramai pihak yang tertarik dengan member tersebut.

Pada hari ini masjid yang baru itu telah digunakan  sebagai  tempat beribadat . Sementara masjid lama yang masyhur itu tinggal bekasnya sahaja lagi. Namun kisahnya masih tersemat di hati orang ramai yang mengetahuinya.

Penulisan ini  sebagai usaha untuk menyampaikannya kepada generasi hari ini . Moga-moga kasihnya akan terus diketahui oleh generasi akan datang.

Pada hari ini, Masjid Kariah Selemak ini terdiri daripada seluruh Kampung Selemak, Kampung Pulau Bintongan ( Pulau Manggar ), dan sebahagian Kampung Sungai Layang. Dari segi struktur pentadbiran daerah Rembau  kampung ini mempunyai sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung ( JKKK ) Kampung Selemak, kecuali Kampung Pulau Bintongan di bawah JKKK Kampung Batu dan sebahagian Kampung Sungai Layang di bawah JKKK Kampung Sungai Layang.



Informer         : Tok Aki Wahab
Pencatat        :  Mohd. Yusof Dahan
Pengedit        :  Mohamad Haji Abd. Ghani pada 31 Disember 2006




Selasa, 24 Disember 2013

JEJAK DARI KG SELEMAK KE NAGARI SARILAMAK

Program Jejak Kg Selemak ke Nagari Sarilamak telah berlangsungb Pada 16-18 Disember 2013 seramai 30 orang penduduk kampung menyertai program itu.


Sebagai satu tanda kenangan, saya akan menghasilkan sebuah buku tentang Kampung Selemak berjadul, JEJAK SELEMAK KE SARILAMAK.....