Rabu, 5 Mac 2014

SAJAK : KATA CIKGU

KATA CIKGU

Cikgu kata…
Bila cikgu termenung
Cikgu fikirkan masalah pelajar
Kalau kami yang termenung
Kami memang tak mahu belajar


Cikgu kata…
Kalau cikgu bersembang
Cikgu tukar-tukar fikiran
Kalau kami yang bersembang
Kami cakap yang bukan-bukan


Cikgu kata…
Bila cikgu melawa
Cikgu pentingkan kekemasan
Kalau kami yang melawa
Kami nak cari pasangan

Cikgu kata…
Kalau cikgu tak siap kerja
Cikgu letih mengajar
Kalau kami tak siap kerja
Kami saja cari alasan


Cikgu kata…
Bila cikgu buat silap
Memang itu lumrah kehidupan
Kalau kami yang buat silap
Kami memang memang tak reti bahasa


Cikgu kata…
Bila cikgu berehat
Cikgu penat mengajar
Kalau kami yang berehat
Kami memang malas belajar


Cikgu kata…
Bila cikgu pandai berlawak
Cikgu memang pandai mengajar
Bila kami buat lawak
Kami memang tak tahu adap


Cikgu kata…
Sesal dahulu pendapatan
Sesal kemudian hilang pendapatan
Kami di sini ambil kesempatan
Salah dan silap harap dimaafkan…


UKI / MMJ


Sabtu, 1 Mac 2014

PEJABAT DAERAH REMBAU TERBAKAR


Penduduk gempar Pejabat Daerah Rembau terbakar

Oleh : Mohamad Abd Ghani

Rembau, 27 Febuari 2014  :  Penduduk Rembau yang berdekatan gempar apabila mendapat berita  Pejabat Daerah Rembau terbakar malam tadi.
Ramai penduduk bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat dan mengetahui keadaan,  tanda  keprihatinan  mereka  terhadap kejadian yang pertama kali  berlaku sejak bangunan ini dibina lebih 30 tahun lalu.
Seorang penduduk Mohd Nor Murad,68, dari Kampung Sungai Layang 10 km dari lokasi kejadian  menyatakan beliau mendapat tahu daripada jirannya yang baru balik dari pekan Rembau.
Katanya, beliau yang baru lepas solat maghrib, apabila mendapat berita tersebut lantas mengenakan pakaian dan  bergegas datang ke tempat kejadian.
Turut prihatin dengan berita itu, Mohamad Muji, 59, dari  Taman Seri Kota, 16 km dari sini menyatakan beliau beliau telha dihubungi oleh seorang kawan memaklumkan kejadian tersebut.
Katanya, beliau segera ke lokasi kejadian melihat perkembangan  dan hendak membantu jika diperlukan.
Pengawal Keselamatan yang bertugas, Nedo Abd Ghani,58, menyatakan beliau menyedari kebakaran itu apabila terbau asap yang hangit  dan apabila keluar dari pondok kawalan melihat kepulan asap keluar dari sebelah kiri bangunan tersebut kira-kira pukul lapan malam.
Menurutnya, beliau segera menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dan pasukan bomba  pertama tiba dari Balai Bomba Rembau  sampai ke lokasi kejadian  kira-kira  lima minit kemudian.
Kemudian, pasukan ini  dibantu oleh dua kereta bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang.
Pengarah   Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis dalam kenyataanya kepada media di lokasi, menyatakan kejadian itu hanya melibatkan tingkat bawah  sekitar Unit Pentadbiran berhampiran Pejabat Pegawai  Daerah.

“ Tingkat dua tidak terlibat, hanya Unit Pentadbiran sahaja yang terlibat,” tegasnya.
Namun katanya, dokumen-dokumen penting BRIM  dan  geran-geran tanah  yang  terletak di bilik-bilik berhampiran  dalam keadaan selamat.
Menurutnya, seramai  11 orang anggota terlibat dalam kerja-kerja pemadaman serta  dibantu anggota-anggota lain dan dapat mengawal api daripada merebak dalam masa 15 minit.
Katanya, anggota pasukan pemadaman mengalami kesukaran masuk  ke dalam ruang pejabat  kerana asap tebal  dan terpaksa memecah pintu dan gril untuk masuk dan  membuka laluan udara  supaya  asap keluar.
Beliau turut memaklumkan  hanya anggaran 60%  ruang Unit Pentadbiran yang mengalami kerosakan dalam kebakaran tersebut.
“ Kerugian belum dapat dipastikan dan punca kebakaran pun  belum diketahui,” jelas beliau lagi.
Pegawai Daerah Rembau, Zaidi Johari,  turut berada di tempat kejadian sejak awal lagi,  setelah dimaklumkan dan bergegas dari Seremban bersama beberapa pegawainya.




Turut melawat  tempat kejadian ialah Undang Luak Rembau, Dato Sharif Othman.