Ahad, 1 Jun 2014

PERISTIWA DR AZIZAN – SEMINAR HIDUP LUAR BIASA

PERISTIWA  DR AZIZAN – SEMINAR HIDUP LUAR BIASA
RABU, 28 MEI 2014

Hari ini aku mendaftar bersama kawan-kawan Pejabat Penerangan menyertai Program Dr Azizan, Seminar Hidup Luar Biasa,  di MITC Melaka bermula jam 8.00 malam.

Aku bertolak dengan kereta Pegawai RELA Daerah menuju Ayer Keroh serta sampai pada jam 7.15 malam. Kami menunaikan solat maghrib berjemaah di Masjid Ayer Keroh. Selepas itu lantas ke sebuah dewan besar di MITC Melaka.

Program bermula jam 8.30 malam dengan muzik lagu  ‘warm-up’ yang melonjakkan para anak muda malam itu. Aku tidak mampu, sesuai dan berminat dengan cara tersebut. Aku hanya berdiri memerhati sahaja.

Pada pukul 9.00 malam baru Dr Azizan Osman muncul, dengan tip-tip luar biasa dengan LIMA kata kunci selama 2 jam. Kata kunci tersebut ialah, berkat, memberi, bersungguh, berterima kasih dan bersyukur. Pengisian motivasi tidak ada yang luar biasa hanya penyampaian yang dapat menarik para remaja.

Persoalan dalam hati saya, ialah apakah factor yang dapat menarik para  peserta pelbagai usia dan golongan kira-kira 3,000 orang malam itu. Program itu tiada jamuan atau minuman ringan sahaja. Adakah kerana tajuknya? Atau adakah fokusnya kepada kekayaan? Aku fikir semua mahu menjadi kaya atau jutawan yang menjadi daya penariknya.

Ketika sesi Afdlin Shauki, menyampaikan pengalamannya bersama Dr Azizan dengan produk seluar batiknya.

Seorang ibu, bertanya bagaimana cara dia mendapatkan RM untuk membina satu madrasah sebagai tanda kesyukuran dan amal jariah untuk anakanda kesayangannya.

Katanya, seorang anak lelakinya, pelajar UiTM Puncak Alam yang menunggang motorsikal untuk balik ke kampung telah meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Plus.

Walau pun kehilangan anak kesayangan, Ibu itu menyatakan kesyukurannya kerana berlaku pada bulan 27 Ramadhan ( bulan puasa, 27 haribulan hari Lailaturkadar, masih berpuasa ) pada bulan dan tarikh dan waktu yang istimewa, Ibu itu redha dengan keistimewaan hari Allah swt.

Sebagai tanda kesyukuran ibu itu terhadap keistimewaan yang diperolehi oleh anaknya itu, ibu itu ingin membina dan mewakafkan sebuah madrasah untuk anak istimewa daripada Allah swt itu.

Inilah isu yang menarik hati saya malam itu. Di mana seorang ibu meluahkan perasaan dalam keadaan hiba ingin menjadi kaya untuk membina sebuah madrasah sebagai tanda kesyukuran terhadap Allah swt yang telah mengambil anak kesayangan pada bulan yang mulia, hari yang berkat, dan masa yang baik. Insya-Allah akan dimakbulkan oleh Allah swt.


Persoalan yang ada dalam pemikiran aku. Aku tidak mampu untuk membina madrasah.  Oleh itu selama ini, aku hanya berjariah dengan tenaga dan ilmu yang aku miliki. Aku bersedia membantu anak-anak dan mereka memerlukan bantuan ilmu yang aku mampu. Dan aku sentiasa melibatkan dengan kegiatan amal dan kebajikan kepada golongan asnaf, ,melalui persatuan yang ditubuhkan bersama kawan-kawan, PERSATUAN AMAL DAN KEBAIKAN ANAK-ANAK REMBAU atau ringkasnya PAKAR. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan