1. Ada ilmu tentang
sifat-sifat mazmumah.
Adanya
ilmu ibarat ada cahaya yang mampu menyuluh sifat-sifat mazmumah di dalam diri
itu termasuk sifat kibir atau sombong. Perlunya ilmu kerana ia merupakan sifat
batiniah yang sesetengah orang payah mengesannya tetapi mudah pula dikesan oleh
orang lain.
2. Bawa berfikir selalu
tentang kejadian manusia.
Sedarkan
hati kita bahawa soal kejadian manusia itu adalah sama. Yakni daripada tanah
dan mati kembali ke tanah semula. Walau bagaimana hebat sekalipun seseorang
itu, kejadiannya sama dengan orang lain. Kejadian yang pertama asalnya daripada
tanah. Walaupun berdarjat, berpangkat, berkuasa, berharta, berilmu, sama ada
yang alim atau tidak, yang kaya atau miskin, yang cantik atau buruk, namun
mereka semuanya sama. Samasama berasal daripada tanah.
3. Fikirkan dan sedarkan
hati kita bahawa kejadian manusia yang kedua adalah daripada air mani yang
hina.
Kalau
diperlihatkan kepada manusia, amat jijik dan benci sekali untuk melihatnya.
Ertinya, kejadian manusia itu tidak ada beza di antara satu sama lain, sama ada
orang kaya, orang berilmu, pembesar atau lain-lain lagi, semuanya berasal daripada
air mani yang hina. Kalaulah orang kaya berasal daripada intan, pembesar
daripada emas, orang berilmu daripada berlian dan orang biasa berasal daripada
air mani, boleh jugalah berbanggabangga. Ini tidak, semuanya berasal daripada
benda yang sama iaitu air mani yang hina. Dari segi kejadian, tidak ada
perbezaan apa-apa pun. Jadi untuk apa kita berbangga-bangga dengan keistimewaan
diri pada orang lain?
4. Melihat respon orang
lain terhadap kita.
Dalam
pergaulan hidup, dapat dikesan respon orang lain kepada kita. Kalau kita
sombong, semua orang akan benci. Anak isteri tidak suka, jiran-jiran meluat,
kenalan renggang dan pengikut tidak suka. Apa pendapat kita? Adakah untung kita
mempertahankan sikap begitu? Apalah indahnya! Bukankah kita dapat rasakan betapa
buruk padahnya akibat mempertahankan penyakit keji dan jahat ini. Lebih-lebih
lagi kerja kita tidak semua kita mampu uruskan sendiri. Lagi tinggi pangkat dan
darjat, lagi banyak urusan kerja yang perlu dibereskan, dibantu oleh
tenaga-tenaga orang lain sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Oleh itu
pertolongan, bantuan dan titik peluh orang lain tidak boleh kita lupakan. Kalau
tidak ada mereka ertinya kita tidak jadi hebat dan kaya. Kalau begitu untuk apa
kita rasa lebih istimewa?
5. Ambil iktibar dari pengalaman hidup.
Apabila
ada kelebihan, keistimewaan dan kehebatan, bolehkah bersifat sombong? Cuba
fikirkan kejadian-kejadian yang berlaku dalam pengalaman hidup seharian. Apakah
kita berkuasa mengelakkan diri daripada sakit? Apakah kita mampu melawan kuasa
tentera Allah yang dihantar melalui bencana alam dan lain-lain lagi? Apakah
anda mampu melawan kematian dengan kesombongan dan kekibiran itu? Tentu tidak!
Kalau begitu kenapa kita merasakan lebih istimewa daripada orang lain? Walhal
tidak ada keistimewaan apa-apa pun yang menjadi milik kita. Semua itu Allah
pinjamkan sekejap. Jadi tidak ada apa-apa pun kehebatan kita jika dibandingkan
dengan orang lain. Kadang-kadang Allah beri kita kelebihan ilmu, kekayaan,
pangkat dan lain-lain, tapi dalam masa yang sama kitalah yang paling banyak
mengidap sakit. Misalnya sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan
lain-lain sehingga kelebihan dan keistimewaan-keistimewaan itu semuanya tidak
ada erti apaapa lagi. Akhirnya, nikmat yang dikumpul-kumpulkan sekian lama,
tidak dapat dinikmati sendiri tetapi dinikmati oleh orang lain. Oleh itu untuk
apa dibangga-banggakan dengan kehebatan yang ada itu?
6. Ingat azab Allah untuk
orang yang sombong.
Cubalah
renungkan. Ingatkanlah di hati bahawa sombong ini sangat dimurkai oleh Allah.
Kita dianggap sudah merampas pakaian-Nya. Akibatnya, kita akan dicampakkan ke
Neraka yang panas apinya 70 kali ganda kekuatan api dunia dan dalamnya 70 ribu
tahun perjalanan baru sampai ke dasarnya.
Ingatkan
Neraka yang keseluruhannya api. Di atasnya api, di bawahnya api, di kiri api,
di kanan api, di depan api, di belakang api yang memakan dan menghanguskan
daging-daging dan tulang-belulang. Kemudian diganti lagi dengan tubuh yang baru
dan diseksa lagi. Begitulah berulang-ulang berlaku sepanjang masa. Walhal di
waktu itu kita dibelenggu kaki dan tangan serta dicemeti berterusan oleh
malaikat Zabaniah. Bau Neraka yang busuk itu tidak dapat digambarkan. Kalaulah
ditakdirkan bau itu tercium oleh penduduk dunia, akan matilah semua lantaran
busuknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan