Langkah-langkah
untuk mengenal pasti adanya penyakit ini ialah melalui pergaulan sesama
manusia. Melalui pergaulan, akan dapat dikesan sifat sombong sama ada sombong
yang keterlaluan, sederhana atau ringan.
Apakah
tanda-tanda seseorang itu memiliki sifat sombong?
1. Payah menerima pandangan orang lain sekalipun hatinya merasakan
pandangan orang itu lebih baik daripadanya. Apatah lagi kalau pandangan itu
datang daripada orang yang lebih rendah daripadanya sama ada rendah umur,
pangkat atau lain-lain lagi.
2. Mudah marah atau emosional. Bila berlaku perbincangan dua hala,
cepat tersinggung atau cepat naik darah kalau ada orang tersilap atau tersalah.
3. Memilih-milih kawan. Suka berkawan hanya dengan orang yang satu
‘level’ atau sama taraf dengannya. Manakala dengan orang bawahan atau lebih
rendah kedudukannya, dia tidak suka bergaul atau bermesra, takut jatuh status
atau darjat dirinya. Bahkan dengan orang yang sama level dengannya pun masih
dipilih-pilih lagi. Yakni dia suka dengan orang yang mahu mendengar dan
mentaati kata-katanya. Mereka inilah saja yang dia boleh bermesra, duduk sama
atau semajlis dengannya.
4. Memandang hina pada golongan bawahan.
5. Dalam perbahasan atau perbincangan, selalunya dia suka
meninggikan suara atau menguatkan suara lebih daripada yang diperlukan.
6. Dalam pergaulan dia suka kata-katanya didengari, diambil
perhatian dan diikuti. Sebaliknya di pihaknya sendiri, susah untuk mendengar
cakap atau nasihat orang lain serta tidak prihatin dengan cakap orang. Apatah
lagi untuk mengikut cakap orang lain.
7. Dalam pergaulannya, dia saja yang memborong untuk bercakap dan
tidak suka memberi peluang kepada orang lain bercakap. Kalau ada orang lain
bercakap, dia suka memotong percakapan orang itu.
8. Kalau dia jadi pemimpin, dia memimpin dengan kasar dan keras
terhadap pengikut-pengikutnya atau orang bawahannya. Ia membuat arahan tanpa
timbang rasa dan tidak ada perikemanusiaan. Kalau dia menjadi pengikut, susah
pula untuk taat dan patuh pada pemimpinnya.
9. Susah hendak memberi kemaafan kepada orang yang tersilap
dengannya. Bahkan ditengking-tengking, diherdik, dikata-kata atau dihina-hina.
Di belakangnya diumpat-umpat.
10. Kalau dia yang bersalah, susah dan berat hendak minta maaf.
Rasa jatuh wibawa bila merendah diri meminta maaf. Bahkan dia tidak mengaku
bersalah.
11. Dia suka dihormati. Tersinggung kalau tidak dihormati. Tetapi
dia sendiri susah atau berat untuk menghormati orang lain.
12. Mudah berdendam dengan orang lain terutamanya bila orang itu
tersilap.
13. Suka menzalimi orang sama ada secara kasar atau secara halus.
14. Kurang bermesra dengan orang kecuali terpaksa kerana perlukan
orang itu atau kerana takutkan orang itu.
15. Suka memperkatakan keburukan orang seperti mengumpat, memfitnah
serta membenci orang.
16. Kurang menghormati pemberian orang atau tidak menghargai
pemberian orang lain.
17. Suka mengangkat-angkat diri atau menceritakan kelebihan diri.
18. Suka menghina dan menjatuhkan air muka orang di hadapan orang
lain.
19. Kurang menghormati nikmat-nikmat Allah. Kalau ada makanan,
berlaku pembaziran atau membuang makanan yang berlebihan. Kalau ada pakaian
walaupun masih elok dipakai tetapi suka berganti dengan yang baru. Pakaian yang
lama dibuang. Kalau ada duit lebih, suka beli barang yang tidak diperlukan.
Semua itu lebih digemari daripada memberi nikmat yang berlebihan itu kepada
orang lain.
20. Kalau berdiri, lebih suka bercekak pinggang (kerana
membesarkan diri). Kalau bercakap, menepuk-nepuk meja dan suka mencemik. Kalau
berjalan suka bergaya, menghentak-hentak kaki atau berjalan membusung dada.
21. Kurang memberi simpati atau kurang menolong orang lain
melainkan ada tujuan-tujuan dunia atau kerana takut dengan orang itu.
22. Kurang minat menerima tetamu atau tidak suka jadi tetamu
orang.
23. Tidak suka menyebut kelebihan-kelebihan orang lain kerana
takut mencabar dirinya.
24. Kesalahan-kesalahan orang lain dibesar-besarkan sedangkan
kesalahan sendiri didiamkan, disorokkan, buat-buat tidak tahu atau cuba
mempertahankan diri supaya orang menganggap dia tidak bersalah.
25. Sangat tidak senang dengan kejayaan atau kebolehan orang lain.
Senarai
tanda-tanda, riak-riak atau sikap-sikap di atas sudah cukup jelas untuk kita
dapat mengenali sifat sombong ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan